Kes buli di sekolah pastinya meninggalkan kesan trauma mendalam hingga mendorong pelajar kelar tangan. Itulah realiti menyedihkan yang dihadapi seorang remaja perempuan Tingkatan Dua di Hulu Langat, apabila tertekan akibat dibuli berterusan.
Difahamkan dia mengalami kemurungan, melukis imej menakutkan sebagai luahan emosi dan akhirnya bertindak melukai pergelangan tangannya ketika bersendirian di dalam kelas.
Baca juga: Rahsia Pokok Limau Purut Kampung Cepat Naik, Kena Buang DURI Baru Hasilnya Puas Hati!
PELAJAR KELAR TANGAN DI SEKOLAH AKIBAT DIBULI
“Dia melukis imej makhluk pelik yang menakutkan dan mengerikan, masa itulah saya mula sedar dia sebenarnya sedang alami kemurungan yang teruk. Lebih menyedihkan, dia pernah kelar pergelangan tangan ketika berada di sekolah sewaktu kelas kosong,” luah Nurul Afeeza Mohd Tarmedi, yang merupakan ibu tunggal kepada mangsa buli.
Menurut Nurul Afeeza, insiden buli terhadap anaknya bermula sejak hari kedua anaknya berpindah ke sekolah itu pada Julai lalu.
“Anak saya tak pernah beritahu apa-apa. Tapi sejak beberapa minggu pertama sekolah, saya perasan dia makin menyendiri dan jarang keluar dari bilik.
“Hanya selepas cuti sekolah, saya mula mengesyaki sesuatu apabila adiknya maklumkan yang si kakak melukis gambar-gambar menakutkan. Saya tanya, baru dia akui dibuli dan diejek hampir setiap hari kerana giginya sedikit jongang. Malah, dia juga dipulaukan,” jelasnya.
Dia turut meluahkan rasa kecewa terhadap pihak sekolah yang didakwanya gagal mengambil tindakan serius walaupun aduan telah dibuat.
“Saya dah jumpa guru kaunseling dan guru disiplin. Tapi kejadian buli tetap berlaku. Terbaru, 12 September, anak saya ditarik rambut dan diejek lagi. Saya maklumkan juga tentang lukisan-lukisan seram yang dia hasilkan, tapi cikgu hanya suruh anak saya hadir ke sekolah dan tak benarkan dia bersemuka dengan pelaku atas alasan SOP.
Yang menyakitkan hati, masa buli berlaku tiada siapa ikut SOP pun, sampai anak saya kelar tangan, itu yang saya tak boleh terima,” ujarnya.

Sekadar gambar hiasan
Dalam kes berasingan, Siti Wan Norasyirah, 24, mendedahkan adik perempuannya yang berusia 14 tahun tidak ke sekolah hampir sebulan akibat trauma selepas dibelasah rakan sekolah sendiri.
Katanya, mangsa dipukul di muka menggunakan botol kaca, disepak di belakang dan tudungnya juga ditarik dalam beberapa kejadian berasingan.
Seorang lagi ibu bapa, Mohd Izham Zakri Mohd Desa, mendakwa pihak sekolah menyembunyikan insiden anaknya ditampar dan dibuli secara fizikal serta dalam talian sejak tahun lalu.
Menurutnya, anak lelaki yang aktif dalam sukan itu telah beberapa kali menjadi mangsa buli termasuk oleh guru sendiri, namun tiada tindakan diambil.
“Paling saya kesal, anak saya dipaksa tandatangan surat menyatakan tiada buli berlaku di sekolah tanpa pengetahuan kami sebagai ibu bapa. Bila saya persoalkan, ada guru pula buat laporan polis terhadap saya, kononnya saya mengganggu urusan sekolah.
Saya dah buat laporan polis dan aduan melalui SISPAA. Saya harap pihak KPM dan PPD turun padang dan ambil tindakan. Jangan sampai lebih ramai pelajar jadi mangsa,” katanya.
Baca juga: Berhenti Guna Anak Obesiti Sebagai Konten Media Sosial, Tak Comel & Kena Ambil Serius
Sumber: Harian Metro
