Euforia Bola 2026
Asuh

Ramai Masih Salah Faham, Individu Autisme Tak Boleh Bercakap Pun Mampu Bekerja! Ini Tugasan Sesuai

pekerjaan bagi autisme

Setiap kali topik autisme dibincangkan, masih ramai yang mempersoalkan keupayaan pekerjaan bagi autisme yang tidak boleh bercakap untuk bekerja. Lebih-lebih lagi apabila komunikasi dilihat sebagai asas utama dalam kebanyakan pekerjaan.

Namun, realitinya jauh lebih kompleks. Persoalannya bukan “boleh atau tidak”, tetapi bagaimana kita memahami dan menyesuaikan persekitaran kerja agar selari dengan keupayaan mereka.

Baca juga: Jangan Tuduh Ibu Bapa! Mitos Punca Autisme Disebabkan Cara Parenting Ini Perlu Dihapuskan

PEKERJAAN BAGI AUTISME YANG TIDAK BOLEH BERCAKAP

pekerjaan bagi autisme

Foto: Facebook Dr Alizi Alias, Organizational Psychologist

Individu autisme, termasuk yang tidak boleh bercakap (non-speaking), sebenarnya mempunyai keupayaan yang berbeza, bukan semestinya rendah.

Kekangan komunikasi lisan tidak bermaksud mereka tidak faham atau tidak mampu berfikir dengan baik. Malah, ramai dalam kalangan mereka sangat sensitif terhadap persekitaran seperti bunyi, cahaya dan interaksi sosial.

Mereka juga cenderung memerlukan rutin yang konsisten dan boleh dijangka untuk berfungsi dengan optimum. Ini bermakna, cabaran sebenar bukan pada individu itu sendiri, tetapi pada sistem kerja yang tidak fleksibel dan kurang mesra pada mereka.

Jenis Pekerjaan Autisme Tak Bercakap Yang Sesuai

pekerjaan bagi autisme

Foto: Freepik

Dalam sesetengah kes, individu autisme yang tidak boleh bercakap juga mempunyai kekuatan kognitif yang tinggi.

Mereka mungkin tidak berkomunikasi secara lisan, tetapi mampu menggunakan teknologi seperti komputer, menaip, atau sistem komunikasi alternatif untuk menyampaikan idea dan melaksanakan tugasan kompleks.

Tugasan berstruktur dan berulang sesuai kepada individu autisme, kerja seperti penyusunan barang, pembungkusan, pembersihan rutin, dobi, sangat sesuai kerana ia jelas, dan konsisten.

Manakala bagi individu yang lebih cenderung kepada visual, mereka boleh terlibat dalam kerja seperti pengasingan data berasaskan visual, pengecaman pola, serta seni dan kraftangan.

Jangan Samakan Tidak Bercakap Dengan Tidak Bijak

Salah faham paling besar dalam masyarakat ialah menganggap individu yang tidak bercakap sebagai kurang cerdas. Hakikatnya, ramai dalam kalangan mereka mempunyai cara berfikir yang unik dan mendalam.

Mereka cuma memerlukan medium komunikasi yang berbeza, seperti teks, simbol, atau teknologi AAC (Augmentative and Alternative Communication).

Apabila akses komunikasi ini diberikan, potensi mereka boleh berkembang jauh melebihi jangkaan.

Kejayaan Individu Autisme Di Tempat Kerja

Walaupun peluang itu ada, kejayaan individu autisme sangat bergantung kepada sokongan yang diberikan.

Antara faktor utama termasuk kehadiran pembimbing atau job coach, sistem komunikasi alternatif yang sesuai, rutin kerja yang konsisten, serta penggunaan arahan visual berbanding hanya verbal.

Selain itu, persekitaran kerja yang terkawal dari segi rangsangan sensori juga memainkan peranan besar dalam memastikan mereka dapat bekerja dengan selesa dan fokus.

Individu autisme yang tidak boleh bercakap bukan tidak mampu bekerja. Mereka boleh berfungsi, menyumbang dan berjaya, asalkan kita bersedia untuk memahami cara mereka berfungsi.

Kejayaan bukan bergantung kepada siapa mereka, tetapi sejauh mana kita sanggup membina sistem yang memberi ruang kepada keunikan mereka.

Selamat Menyambut Hari Autisme Sedunia!

Baca juga: Hadapi Cabaran Emosi & Autisme Bukan Halangan, Nur Syahirah Raih 10A SPM 2025.. Hebat!

Sumber: Facebook Dr Alizi Alias, Organizational Psychologist

FT Images: Freepik

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×