Jabatan PASTI Terengganu berjaya menerima pengiktirafan antarabangsa sebagai Best Preschool of The Year sempena World School Summit 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Baca juga: Tragedi Bayi Dicampak Dari Tingkat 10, Ibu Kandung Berusia 22 Tahun Ditahan & Didakwa Hari Ini
PASTI TERENGGANU RAIH PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA

Foto: HarakahDaily
Kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa institusi pendidikan tempatan juga mampu berdiri sebaris dengan institusi pendidikan terbaik dunia, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga PASTI atas pencapaian yang dianggap amat bermakna.
Menurut beliau, anugerah tersebut bukan sekadar satu pengiktirafan biasa, malah mencerminkan kejayaan sebuah sistem pendidikan awal kanak-kanak yang dibangunkan berasaskan nilai Islam sehingga mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat global.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PASTI dalam memperkasa pendidikan awal kanak-kanak yang bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek akademik, tetapi turut menitikberatkan pembentukan akhlak, sahsiah dan jati diri murid sejak usia muda.
Hasil Kesungguhan Semua Pihak

Foto: HarakahDaily
Menurut Ahmad Samsuri, pencapaian membanggakan itu adalah hasil kerjasama dan usaha berterusan pelbagai pihak yang sentiasa komited memastikan pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada anak-anak.
Beliau berkata, para pendidik, pentadbir serta ibu bapa memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang kondusif dan berkesan.
Pendekatan pendidikan berasaskan tarbiah yang diterapkan PASTI juga berjaya melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah mempunyai nilai murni, akhlak terpuji serta identiti diri yang kukuh.
Jadi Inspirasi Untuk Terus Melakar Kecemerlangan
Dalam masa sama, beliau berharap pengiktirafan berprestij itu dapat menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga PASTI untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.
Beliau turut berharap kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada institusi pendidikan lain untuk terus berusaha meningkatkan kualiti pendidikan masing-masing demi melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Tahniah sekali lagi kepada Jabatan PASTI Negeri Terengganu atas pencapaian yang membanggakan ini.
Semoga kejayaan tersebut menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan serta terus mengangkat nama Malaysia dalam bidang pendidikan di mata dunia.
Sumber: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar
FT Images: HarakahDaily
