Baru-baru ini tular mengenai kisah seorang peniaga air balang yang saban minggu menggendong isterinya yang lumpuh untuk berniaga di pasar malam.
Kisah yang terus membuatkan netizen mengalirkan air mata ini menarik perhatian Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan.
Baca juga: Cara Guna SARA RM100 & Lokasi Pembelian: Tak Perlu Beratur, Tak Perlu Mohon…Terus Masuk Ke MyKad!
PENIAGA AIR BALANG ‘VIRAL’ BAWA ISTERI SAKIT BERNIAGA, ANAK DITAWAR BELAJAR GIATMARA

Di sebalik ketabahan En. Yauddin berniaga demi kelangsungan hidup, anak gadisnya, Siti Nuralia, 21 tahun, turut berkorban besar apabila terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pelajaran demi menjaga ibunya yang uzur serta membantu ayah di tapak niaga.
“Saya memang nak sambung belajar… Tapi siapa nak jaga mak yang sakit? Siapa nak bantu ayah berniaga?” luah Nuralia sebak semasa diziarahi pihak MARA baru-baru ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi, kisah keluarga ini yang berniaga di Pasar Malam Pantai Dalam menyentuh hati ramai apabila En. Yauddin dilihat sabar dan tabah menggendong isterinya yang lumpuh akibat serangan angin ahmar dari rumah mereka di tingkat empat sebuah flat, tanpa lif setiap Sabtu.
“Bayangkan, demi mencari rezeki bersama, dia sanggup mengangkat isterinya turun naik tangga, minggu demi minggu,” ujar Asyraf.
Peluang Baharu Buat Nuralia

Menyedari potensi yang ada pada Nuralia, MARA menawarkannya untuk menyambung pengajian dalam bidang Konfeksioneri dan Bakeri di GiatMARA Klang, hanya beberapa kilometer dari kediaman mereka di Meru, Kapar.
Bukan itu sahaja, MARA juga menyuntik semangat keusahawanan dengan menyediakan geran perniagaan bernilai RM6,000 dalam bentuk mesin dan peralatan membuat roti dan kek. Sokongan ini turut disalurkan di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah.
Sebagai langkah memperkasakan lagi kemahiran, Nuralia juga ditawarkan kursus keusahawanan digital agar dapat memanfaatkan media sosial seperti TikTok sebagai platform pemasaran produk hasil air tangannya kelak.
Dalam lawatan yang sama, beberapa doktor dari rangkaian UnI Klinik dan UnI Farmasi turut menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap ibu Nuralia dan En. Yauddin sendiri yang kini menghidap penyakit buah pinggang tahap 4.
Datuk Asyraf menegaskan, pendekatan MARA bukan sekadar memberi bantuan sementara, tetapi membina jati diri dan kelangsungan hidup jangka panjang.
“Saya percaya hanya ilmu dan kemahiran boleh mengubah nasib hidup seseorang. Tidak selamanya kita harus bergantung kepada bantuan semata-mata…”
“Sebab itu, pendekatan MARA ialah menyediakan kail dan mengajar cara memancing — bukan sekadar memberi ikan untuk sehari dua,” jelas beliau lagi.
*TERIMA KASIH MARA!
Sumber: Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
