Euforia Bola 2026
Inspirasi

Pernah Dibuli, Murid Tahun 2 Bangkit Cipta Malaysia Book of Records Pakai Kasut Berpaku Lakukan Karate Kata

kasut berpaku

Aksi luar biasa murid Tahun Dua, V Vasanth Abhinandan, menarik perhatian ramai apabila melakukan persembahan Karate Kata dengan memakai kasut berpaku selama 10 minit tanpa henti. Kehebatan anak kecil berusia lapan tahun itu melakar sejarah apabila namanya secara rasmi diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Pengiktirafan itu diberikan di bawah kategori ‘Pergerakan Karate Kata Terbanyak Di atas Paku oleh Seorang Kanak-kanak’ dalam tempoh 10 minit. Di mana, ia merupakan satu pencapaian luar biasa yang jarang dilakukan oleh individu seusianya.

Baca  juga: Kenali Mastermind Misi GSF Remaja Ada Sindrom Asperger, Greta Thunberg Cetus Kebangkitan Dunia

VASANTH PAKAI KASUT BERPAKU DALAM KARATE KATA & CIPTA REKOD

kasut berpaku

Gambar BERNAMA

Lebih menarik, idea unik tersebut datang daripada Vasanth sendiri yang mahu melakukan kelainan dalam seni mempertahankan diri berbanding rakan-rakan karate yang lain.

Menurut bapanya, K Vasantha, 41, anak tunggalnya itu mengambil masa hampir setahun untuk berlatih menggunakan kasut khas yang direka khusus bagi persembahan istimewa itu.

“Anak saya seorang yang sangat aktif, dia mula belajar karate sejak umur tiga tahun dan berjaya peroleh pelbagai kemenangan pada kejohanan karate kanak-kanak dalam dan luar negara.

“Selain mencatat nama di MBR, Vasanth Abhinandan turut mencipta nama dalam Yoga Asia World Record 2025 apabila berjaya berdiri sebelah kaki paling lama bagi kategori kanak-kanak pada Julai lepas,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sijil penghargaan daripada Pegawai Rasmi MBR, Siti Hajar Johor.

Vasantha, yang bekerja sebagai pemandu van sekolah, memaklumkan anaknya kini bergelar pemegang tali pinggang biru dan sedang berusaha menambah lima lagi pergerakan dalam Karate untuk melayakkan diri memperoleh tali pinggang hitam.

Katanya lagi, selain mencipta rekod MBR, anaknya pernah muncul juara Karate Kata dalam kejohanan antarabangsa di Kuala Lumpur tahun lalu, serta menerima Anugerah Pencapaian Sukan Terbaik Bukan Temasya 2024 daripada kerajaan negeri.

“Saya mahu membesarkan anak saya sebagai seorang yang berdikari dan berdisiplin. Karate bukan sekadar sukan, tetapi menjadi benteng untuk pertahankan diri kerana Vasanth Abhinandan pernah melalui pengalaman pahit dibuli dan ilmu seni bela diri inilah yang membantunya mempertahankan diri,” katanya.

Baca juga: Non-Muslim Malaysia Pengetahuan Luas & Fasih Jelaskan Islam Kepada Pelancong US, Sampai Terharu Netizen!

kasut berpaku

Gambar BERNAMA

Bagi Vasanth sendiri, kejayaan itu menjadi langkah awal ke arah cita-citanya untuk bergelar atlet negara suatu hari nanti.

“Saya bangga dapat mencipta nama dalam MBR, saya berharap suatu hari nanti terpilih sebagai atlet negara yang boleh mengharumkan nama keluarga dan Malaysia,” ujarnya penuh semangat.

Sementara itu, Siti Hajar Johor daripada pihak MBR menjelaskan, permohonan pengiktirafan itu diterima dua bulan lalu sebelum melalui proses penilaian rapi.

“Kategori ini adalah yang pertama di Malaysia dan jika selepas ini ada pencabar lain mereka perlu melakukan lebih daripada lima pergerakan Karate Kata kerana Vasanth Abhinandan hanya buat persembahan lima jenis gerakan sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, kejayaan Vasanth membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta sejarah. Keberaniannya menjadi bukti bahawa semangat dan idea luar biasa mampu menjadikan seseorang itu inspirasi buat generasi muda lain untuk berani mencuba sesuatu yang baharu.

Baca juga: UiTM Chamber Choir Raih 2 Emas & Peroleh Gelaran Tertinggi Eksklusif Di Pertandingan Antarabangsa!

Sumber: BERNAMA

FT Image: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×