Kegembiraan empat kanak-kanak yang bermain air di sebuah lombong bertukar duka apabila seorang daripada mereka lemas dalam lombong di Kampung Penchu, Kundang Ulu, Gersik, Tangkak pada petang Sabtu.
Mangsa, Siti Nur Khadijah Ahmad Faisal, 12, yang juga murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Penchu, dipercayai tergelincir ketika bermandi-manda bersama adik lelakinya dan dua rakan lain.
MURID TAHUN 6 DITEMUKAN LEMAS DALAM LOMBONG

Gambar JBPM: Anggota bomba mengangkat mayat Siti Nur Khadijah di kawasan lombong di Kampung Penchu, Kundang Ulu, Gersik, Tangkak.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib, berkata laporan mengenai kejadian itu diterima sekitar jam 3.02 petang.
“Mangsa kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun dilaporkan mandi bersama tiga lagi kanak-kanak iaitu adik lelakinya berumur 10 tahun dan dua rakan masing-masing berusia sembilan dan 13 tahun sebelum kejadian tidak diingini itu berlaku.
“Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dan mangsa berjaya ditemui pada jam 3.20 petang pada kedalaman kira-kira tiga meter dan dianggarkan 50 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Remaja OKU Penuh Beradab Betulkan Tudung Nenek Dalam Tren, Ramai Sebak & Doakan Rezeki Mereka Mewah
Roslan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan I Johar Tumin berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian berhampiran lokasi mangsa dipercayai tenggelam sebelum menemui tubuhnya dalam tempoh kurang 20 minit,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: JBPM
