Murid tahun 4 yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Senawang semalam, kini diklasifikasikan sebagai berkaitan unsur buli mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan oleh pihak polis.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menjelaskan, mangsa yang berusia 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.
Baca juga: Murid Tahun 4 Meninggal Dunia Di Sekolah Sekitar Senawang, Polis Sedang Jalankan Siasatan!
MURID TAHUN 4 MAUT DI SEKOLAH DIKAITKAN KES BULI

Gambar Facebook: Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
“Kira-kira jam 1.19 tengah hari semalam, polis menerima maklumat berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta.
“Mangsa dihantar guru disiplin untuk menerima rawatan di klinik terbabit, namun doktor yang merawatnya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, sejurus menerima laporan, pasukan polis bergegas ke lokasi dan hasil siasatan awal mendapati murid berkenaan dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di tandas lelaki sekolah berkenaan.
Kes ini, jelasnya, diklasifikasikan di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan berkaitan perbuatan buli, khususnya perbuatan ugutan atau penghinaan.
Proses bedah siasat dijadualkan berlangsung hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.
Media sebelum ini melaporkan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menegaskan ibu bapa serta murid di sekolah berkenaan akan diberikan intervensi psikososial.
Beliau turut meminta agar komuniti sekolah tidak bimbang untuk meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
Sementara itu, Alzafny menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan khabar angin atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Sumber: Berita Harian
