Memelihara haiwan eksotik seperti ular, biawak, atau burung helang semakin menjadi hobi popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa memelihara haiwan-haiwan ini memerlukan lesen khas daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Hal ini kerana, tanpa lesen yang sah, pemeliharaan haiwan eksotik boleh dianggap sebagai satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang! Tapi, bagaimana nak mohon lesen tersebut ya?
Baca juga: 8 Jenis Baka Kucing Termahal Dunia, Harga Hampir Sama Nilai Beli Sebuah Rumah
MINAT BELA HAIWAN EKSOTIK? MOHON LESEN INI DULU SUPAYA TAK KENA SAMAN

Foto: Freepik
Berikut merupakan panduan untuk memohon lesen memelihara haiwan eksotik secara sah.
Langkah 1: Semak Status Haiwan – Sah atau Tidak
Langkah pertama sebelum memohon lesen ialah memastikan haiwan yang ingin dipelihara termasuk dalam senarai haiwan yang dibenarkan oleh PERHILITAN. Anda boleh menyemak senarai ini melalui pautan rasmi INI atau senarai di akhir artikel.
Jika haiwan tersebut tersenarai, ini bermakna ia boleh dipelihara tetapi memerlukan lesen. Sekiranya tidak tersenarai, terdapat dua kemungkinan:
– Tidak perlu lesen: Contohnya Leopard Gecko atau Corn Snake.
– Dilarang sama sekali: Contohnya harimau atau orang utan, kerana statusnya sebagai spesies terancam.
Langkah 2: Beli dari Penjual Berlesen
Setelah memastikan haiwan yang dipilih sah untuk dipelihara, langkah seterusnya adalah mendapatkan haiwan tersebut daripada penjual yang berdaftar dengan PERHILITAN. Elakkan membeli dari penjual tidak sah atau pasaran gelap kerana ini boleh menyebabkan haiwan anda dirampas.
Sekiranya anda bercadang untuk menangkap sendiri haiwan dari habitat semula jadi (contohnya burung atau reptilia tempatan), anda perlu memohon lesen menangkap terlebih dahulu.
Langkah 3: Sediakan Dokumen dan Isi Borang Permohonan
Permohonan lesen boleh dilakukan dengan memuat turun borang rasmi dari laman web PERHILITAN. Antara dokumen yang diperlukan ialah:
– Salinan MyKad pemohon
– Resit pembelian haiwan (jika berkaitan)
– Gambar berwarna haiwan bersaiz A4
– Borang permohonan lengkap diisi
Sekiranya haiwan dibeli dari penjual berlesen, mereka biasanya akan menyediakan alat penandaan seperti mikrocip atau tag untuk tujuan pengesahan identiti haiwan.
Langkah 4: Serahkan Permohonan ke Pejabat PERHILITAN
Setelah semua dokumen lengkap, permohonan perlu dihantar ke pejabat PERHILITAN negeri. Perlu diingatkan, tidak semua pejabat mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen, jadi sebaiknya hubungi pejabat berkenaan terlebih dahulu sebelum hadir.
Sekiranya permohonan diluluskan, pemilik perlu membawa haiwan ke klinik haiwan untuk proses pemasangan alat penandaan jika belum dipasang. Ini merupakan langkah penting bagi memastikan haiwan tersebut berdaftar secara rasmi.
Langkah 5: Perbaharui Lesen Setiap Tahun
Lesen yang diperoleh perlu diperbaharui setiap tahun dengan kadar bayaran yang sama seperti permohonan asal. Sekiranya haiwan mati atau tidak lagi dipelihara, lesen dan alat penandaan perlu dipulangkan kepada PERHILITAN. Pembuangan lesen atau alat tersebut secara sembarangan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.
ANTARA SENARAI HAIWAN PERLUKAN LESEN

Foto: Freepik
Berikut ialah senarai umum haiwan eksotik yang memerlukan lesen daripada PERHILITAN untuk dipelihara di Malaysia, berdasarkan Jadual Kedua dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta senarai spesies di bawah peraturan PERHILITAN.
#Reptilia
– Ular sawa (contoh: Python reticulatus, Python bivittatus)
– Ular tedung (contoh: Naja sumatrana)
– Biawak air (Varanus salvator)
– Biawak pasir (Varanus nebulosus)
– Kura-kura dan labi-labi tempatan (contoh: Amyda cartilaginea, Cuora amboinensis)
#Burung Eksotik / Burung Tempatan
– Burung tiong emas (Gracula religiosa)
– Burung murai batu (Copsychus malabaricus)
– Burung helang, burung hantu, dan burung pemangsa lain (contoh: Haliaeetus leucoryphus, Otus spp.)
– Burung kuang (Argusianus argus)
– Burung enggang (Buceros spp.)
#Mamalia Eksotik / Tempatan
– Musang pandan (Paradoxurus hermaphroditus)
– Kucing batu (Prionailurus bengalensis)
– Beruk, lotong, atau spesies primat lain
– Tenggiling (Manis javanica) — dilarang, sangat dilindungi
– Harimau, tapir, orang utan — dilarang sepenuhnya untuk dipelihara
#Amfibia dan Lain-lain
– Katak bertanduk (Megophrys nasuta) — sesetengah spesies tempatan
– Sesetengah spesies katak eksotik jika dikategorikan sebagai terancam
Perlu diketahui senarai ini tidak lengkap sepenuhnya dan mungkin berubah mengikut masa atau lokasi. Untuk semakan terkini dan rasmi, sila rujuk Akta 716 – Jadual Kedua PERHILITAN (PDF) dan hubungi pejabat PERHILITAN negeri anda untuk senarai terperinci atau status haiwan tertentu.
*Kesimpulannya, memelihara haiwan eksotik bukan sahaja satu hobi yang menarik, tetapi juga datang dengan tanggungjawab besar. Jangan fikir suka-suka sahaja ya!
Baca juga: Awas! Ini 9 Jenis Perabot Dikatakan Jadi ‘Sarang Setan’ & Tenaga Negatif Dalam Rumah
Sumber: Exotic Lovers Malaysia, Secure Wildlife
