Trend memelihara haiwan unik seperti rubah (fox) atau serigala (wolf) semakin popular dalam kalangan pencinta haiwan, terutama selepas tular pelbagai video di media sosial. Namun, di sebalik rupa yang comel dan menarik, timbul persoalan penting dalam kalangan umat Islam tentang status najis haiwan-haiwan ini.
Adakah rubah dan serigala mempunyai hukum yang sama seperti anjing? Walaupun rupanya hampir serupa, hakikatnya terdapat perbezaan yang jelas dari sudut hukum fiqh Islam.
STATUS NAJIS HAIWAN UNIK RUBAH & SERIGALA VS ANJING

Anjing tergolong najis berat dalam islam
Umum mengetahui bahawa anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah atau najis berat dalam Islam. Oleh itu, cara menyucikan sesuatu yang terkena najis anjing juga berbeza berbanding najis lain.
Perkara ini bersandarkan sabda Nabi SAW:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang dari kamu apabila seekor anjing menjilat padanya (bekas tersebut) adalah dengan cara kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali, dan basuhan pertama bercampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Selain itu, pandangan ilmuwan dalam kitab fiqh juga menegaskan bahawa setiap haiwan pada asasnya adalah bersih kecuali anjing dan babi serta keturunannya.
Serigala dan rubah tidak berkongsi hukum najis anjing
Walaupun kelihatan hampir sama dengan anjing dari segi rupa fizikal, serigala dan rubah sebenarnya tidak termasuk dalam kategori yang sama.
Menurut penjelasan Dar Ifta Misriah (Lembaga Fatwa Mesir), anjing ditakrifkan sebagai haiwan yang menyalak dan berasal daripada baka anjing. Maka, apa sahaja haiwan yang bukan daripada keturunan anjing tidak tertakluk kepada hukum najis berat.
Fakta penting yang perlu diketahui:
- Serigala dan rubah bukan baka atau kacukan anjing
- Tiada dalil khusus yang menyatakan kedua-duanya najis berat
- Hukum najis berat hanya disebut secara spesifik untuk anjing dan keturunannya
Ini bermakna, walaupun rupa haiwan tersebut hampir sama, hukumnya tetap berbeza dalam Islam.
Baca juga: Tak Pasti Layak Solat Jamak & Qasar? Lelaki Ini Bangunkan ‘Kalkulator Musafir’ Untuk Bantu Semak!

Gambar hiasan: Gemini AI
Boleh pegang rubah, tetapi najisnya tetap perlu dibersihkan
Kesimpulannya, rubah dan serigala yang masih hidup dianggap suci dan boleh disentuh tanpa rasa was-was. Termasuklah, seperti trend sekarang yang membela si cantik Marble Fox.
Namun begitu, terdapat satu perkara penting yang perlu difahami berkaitan kebersihan apabila melibatkan najis haiwan tersebut.
Status najis rubah dan serigala:
- Haiwan hidup yang suci dan boleh dipegang tanpa was-was
- Kotoran atau bangkai: Golongan najis mutawassithah (najis sederhana)
Cara menyucikannya:
- Basuh menggunakan air mutlak (air paip biasa)
- Pastikan hilang sifat najis dari segi rupa, bau dan rasa
Dengan memahami perbezaan hukum ini, umat Islam dapat membuat keputusan dengan lebih yakin sebelum memelihara haiwan eksotik atau haiwan unik di rumah.
Baca juga: Ibu Mengandung Perlu Tahu, Ini Hukum Zakat Fitrah Untuk Bayi Dalam Kandungan…Wajib Atau Sunat?
Sumber: Bahagian Dakwah, Jakim
FT Image: Gemini AI
