Euforia Bola 2026
Nur

Hukum Tangguh Mandi Wajib Selepas Jimak Dan Haid, Jangan Sampai Terlepas Solat

melewatkan mandi wajib

Melewatkan mandi wajib sering menimbulkan persoalan, sama ada selepas selesai haid mahupun selepas melakukan hubungan suami isteri.

Ada yang bimbang jika tidur dahulu sebelum mandi akan berdosa, manakala ada pula yang menyangka mandi wajib mesti dilakukan serta-merta sebaik sahaja berhadas besar.

Baca juga: Pemain Bola Sepak Maghribi Sujud Syukur Lepas Menang, Boleh Ke Sujud Tapi Nampak Lutut?

HUKUM MELEWATKAN MANDI WAJIB, SAMA ADA SELEPAS BERJIMAK ATAU HABIS HAID

melewatkan mandi wajib

Gambar: Gemini AI

Sebenarnya, Islam memberikan kelonggaran dalam perkara ini. Namun, terdapat beberapa syarat yang perlu difahami supaya seseorang tidak terlepas pandang kewajipan yang lebih utama, iaitu menunaikan solat dalam waktunya.

Orang berjunub tidur sebelum mandi wajib

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang yang berada dalam keadaan junub dibolehkan melewatkan mandi wajib, selagi kelewatan itu tidak menyebabkan dia meninggalkan solat atau ibadah lain yang mensyaratkan suci daripada hadas besar.

Kelonggaran ini disandarkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A beliau berkata:

Maksudnya: Umar pernah bertanya kepada Nabi S.A.W: “Adakah boleh seseorang dari kami tidur dalam keadaan dia berjunub ?”. Lalu jawab Rasulullah S.A.W: “Ya boleh, apabila dia telah berwuduk”. (Riwayat Al-Bukhari, 289)

Manakala dalam riwayat yang lain daripada Ibn Umar R.A beliau berkata: Umar pernah menceritakan kepada Rasulullah S.A.W bahawa dia berjunub pada waktu malam. Kemudian Rasulullah S.A.W berkata:

Maksudnya: Berwuduklah kamu dan basuhlah kemaluan kamu kemudian tidurlah.‏ (Riwayat Al-Nasa’ie, 261)

Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang yang berjunub dibolehkan untuk tidur sebelum mandi wajib, namun disunatkan mengambil wuduk terlebih dahulu sebagai satu adab dan amalan yang dianjurkan.

Baca juga: Masuk Pertengahan Tahun 2026, Luangkan 5 Minit Baca Doa-Doa Ini Selepas Solat

melewatkan mandi wajib

Gambar: Gemini AI

Bagaimana pula selepas haid?

Bagi wanita yang telah benar-benar suci daripada haid, mandi wajib menjadi syarat untuk kembali menunaikan ibadah seperti solat.

Mengikut pandangan utama Mazhab Syafi’i, wanita wajib mandi sedia ada apabila darah haidnya berhenti kerana dia sudah dikira suci.

Bagaimanapun, bagi situasi sesetengah wanita yang darah haidnya kerap putus-putus (kejap ada, kejap tiada), mereka diberi kelonggaran untuk menganggap seluruh tempoh tersebut sebagai haid bagi mengelakkan kesukaran mandi wajib berkali-kali.

Namun, apabila masuk waktu solat fardu, dia hendaklah segera bersuci supaya dapat menunaikan solat dalam waktunya.

Baca juga: Cara MANDI WAJIB Untuk Lebih 1 Hadas Besar, Perlu Gabung Niat Ke?

BILAKAH MELAMBATKAN MANDI WAJIB JADI BERDOSA?

Apa yang ditegah ialah apabila kelewatan tersebut menyebabkan kewajipan lain diabaikan. Antara contohnya ialah:

  • Sengaja tidur sehingga terlepas waktu Subuh;
  • Melengah-lengahkan mandi sehingga solat dilakukan selepas habis waktunya;
  • Sengaja tidak mandi walaupun mempunyai kemampuan untuk bersuci.

Dalam keadaan ini, dosa bukan kerana mandi wajib dilewatkan semata-mata, tetapi kerana seseorang meninggalkan atau melambatkan solat tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak.

Imam al-Syirazi dalam kitab al-Muhazzab, antara kitab fiqh utama Mazhab al-Syafi’i, menjelaskan bahawa orang yang berhadas besar wajib bersuci apabila hendak menunaikan ibadah yang mensyaratkan taharah seperti solat.

Kesimpulan

Kesimpulannya, melewatkan mandi wajib selepas haid atau selepas bersama pasangan dibolehkan menurut syarak, bahkan perkara ini disokong oleh hadis-hadis sahih.

Walau bagaimanapun, kelonggaran tersebut bukan alasan untuk melengah-lengahkan mandi sehingga menyebabkan solat ditinggalkan atau dilakukan di luar waktunya.

Sekiranya telah masuk waktu solat, seseorang hendaklah segera mandi wajib agar dapat menunaikan ibadah dalam keadaan suci sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (1), (2)

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×