Polis Kelantan berjaya membongkar taktik lama yang masih diamalkan segelintir rakyat Malaysia, termasuk penjawat awam, untuk keluar masuk ke pintu Thailand tanpa dokumen sah hanya dengan melambaikan tangan di pusat pemeriksaan sempadan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perbuatan tersebut sudah berlaku sekian lama, terutama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di mana ada individu yang menggunakan ‘lorong VIP’ untuk melepasi sempadan tanpa pemeriksaan sewajarnya.
Baca juga: Wanita Masuk ICU Lepas Makan Anggur Shine Muscat… Terus Alami Sakit Kepala, Batuk & Badan Lemah
POLIS BONGKAR TAKTIK LAMA RAKYAT MALAYSIA MASUK PINTU THAILAND
“Kebanyakan mereka menaiki kereta jenis sedan dan ada juga yang menggunakan kenderaan mewah. Mereka keluar masuk sempadan atas alasan urusan perniagaan atau sekadar bersantai,” jelasnya.
Menurut beliau, ada yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa bagi mengaburi pihak berkuasa, namun taktik sebegitu tidak akan bertahan lama.
“Walau apa pun alasan mereka, tindakan keluar masuk tanpa dokumen sah adalah kesalahan serius di bawah undang-undang imigresen,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan, terdapat juga individu yang menggunakan laluan lori atau kenderaan berat untuk menyeberangi sempadan bagi mengelak pemeriksaan.

“Mereka lakukan semua ini semata-mata untuk menikmati makanan, berhibur atau berurusan dengan pihak tertentu di Thailand. Namun mereka perlu sedar, jika tertangkap, boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan hukuman penjara,” tambahnya.
Amaran itu dikeluarkan selepas penahanan lapan individu termasuk dua wanita yang baru pulang dari Sungai Golok, Thailand pada Selasa lalu, selepas dikesan tidak mempunyai dokumen sah ketika melalui ICQS Rantau Panjang.
Sungai Golok di selatan Thailand sememangnya menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk membeli-belah, mencari makanan murah dan berhibur, namun pihak berkuasa menegaskan bahawa setiap urusan rentas sempadan perlu dilakukan mengikut peraturan ditetapkan.
Baca juga: Kesan Kunyit Hilang Sekelip Mata Tanpa Sental, Bekas Bertukar Nampak Macam Baru Beli!
Sumber: NSTP
