Masalah kesihatan lelaki mati pucuk atau kegagalan ereksi telah menjadi satu cabaran kesihatan awam yang serius di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa hampir dua pertiga lelaki di negara ini berisiko menghadapi masalah mati pucuk, dengan kes meningkat seiring usia!
Penyakit disfungsi erektil (ED) ini bukan sahaja menganggu kesejahteraan mental, emosi dan hubungan kekeluargaan bahkan menjadi salah satu punca utama penceraian.
Baca juga: Jangan Pandang Rendah Telur Separuh Masak, Rupanya Ini Rahsia Tenaga Batin Cik Abang ‘Power’!
LELAKI MATI PUCUK & GAGAL EREKSI MAKIN RAMAI DI MALAYSIA

Foto hiasan.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dalam laporan Berita RTM, statistik terkini yang diperoleh daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan sebanyak 31.6 peratus lelaki dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami gejala ED pada tahap sederhana hingga teruk.
“Lebih membimbangkan lagi, sebanyak 69.5 peratus lelaki berumur 40 tahun dan ke atas turut mengalami masalah ini, sekali gus menunjukkan peningkatan kes yang ketara dalam kalangan populasi berusia,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau turut menekankan bahawa ED bukan sahaja memberi kesan kepada aspek kesihatan fizikal lelaki, malah turut membawa implikasi psikososial yang mendalam.
“Masalah ini telah dikenal pasti sebagai antara punca utama kepada peningkatan kadar penceraian dalam negara. Kajian menunjukkan ED menyumbang sehingga 70 peratus kes penceraian, menggambarkan betapa seriusnya impak penyakit ini terhadap hubungan suami isteri dan institusi keluarga,” ujarnya.
Beliau menyarankan agar masyarakat melihat ED dengan lebih serius, setaraf dengan penyakit kronik lain seperti diabetes, hipertensi dan dislipidemia (kolesterol tinggi).
Sebagai langkah proaktif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membangunkan CPG khas bagi pengurusan menyeluruh ED. Panduan ini disediakan melalui usaha bersama pakar-pakar kesihatan dalam tempoh beberapa tahun bagi memastikan rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah berdasarkan bukti terkini dan amalan klinikal terbaik.
“Garis panduan ini telah diedarkan secara meluas kepada klinik-klinik kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi perubatan serta persatuan kesihatan sebagai rujukan utama dalam rawatan ED secara holistik dan profesional,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai mengenai bahaya penggunaan ubat-ubatan ED tanpa pengawasan perubatan. KKM, melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), akan terus memperketat pemantauan terhadap penjualan ubat ED di pasaran, khususnya secara dalam talian.

Foto: freepik
*Jadi, jangan terpengaruh dengan sebarang jenis jualan dalam talian tentang rawatan dan ubat mengenai penyakit ini ya!
Baca juga: Ubat Kuat Untuk Suami, Guna Bawang Putih Bakar & Madu Asli
Sumber: Berita RTM
