Penipuan berkaitan akaun bank semakin menjadi-jadi dan semakin licik dengan pelbagai taktik baharu yang sukar dikesan oleh orang ramai.
Ramai pengguna tidak sedar bahawa hanya dengan satu klik pada laman sesawang palsu, maklumat penting seperti username, password dan PIN boleh terdedah kepada scammer.
Baca juga: Masih Pakai Telefon Lama? WhatsApp Tak Lagi Berfungsi Pada 10 Model Android Ini Mulai Jun 2026
MAKLUMAT AKAUN BANK ‘BOCOR’, INI TAKTIK SCAMMER

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Amal Zulkifli berkongsi pengalaman apabila adiknya hampir menjadi mangsa selepas mahu membuat tempahan ayam secara dalam talian.
Menurutnya, adiknya menemui sebuah kedai yang menawarkan harga ayam lebih murah. Pelanggan hanya perlu membuat tempahan di laman web dan membayar caj penghantaran sebanyak RM5 terlebih dahulu, manakala baki bayaran dibuat ketika barang dihantar.
Pada pandangan pertama, tawaran itu kelihatan meyakinkan. Namun, konsep pembayaran tersebut sebenarnya digunakan untuk membuatkan orang ramai berasa lebih yakin dan terus memasukkan maklumat perbankan mereka.
Selepas memilih bank untuk membuat bayaran, pengguna tidak dibawa ke laman rasmi bank seperti kebiasaan.
Sebaliknya, mereka akan diarahkan ke laman web yang direka menyerupai halaman log masuk bank. Sekali imbas, ia mungkin kelihatan hampir sama dengan laman sebenar, namun jika diperhatikan, alamat URL yang digunakan langsung tidak sepadan dengan laman rasmi institusi kewangan tersebut.
Bagi pengguna yang kurang peka, mereka mungkin terus memasukkan maklumat log masuk tanpa menyedari laman tersebut sebenarnya palsu.
1. Isi apa-apa username & password
Amal kemudian membuat ujian menggunakan maklumat log masuk yang sengaja direka. Dia memasukkan username dan kata laluan yang bukan milik mana-mana akaun bank sebenar. Anehnya, sistem tetap membenarkan proses diteruskan.
Keadaan itu membuktikan laman tersebut langsung tidak menyemak sama ada username atau password yang dimasukkan adalah sah. Tujuannya hanyalah untuk mengumpulkan maklumat yang ditaip oleh pengguna.

2. Minta masukkan PIN
Selepas memasukkan username dan password, pengguna akan diminta pula memasukkan nombor PIN akaun bank. Di sinilah perangkap sebenar berlaku.
Menurut Amal, jika seseorang memasukkan maklumat sebenar sehingga ke peringkat PIN, scammer berpotensi memperoleh semua maklumat penting yang diperlukan untuk mengakses akaun mangsa dan mengosongkan wang di dalamnya.
Perkongsian ini menjadi peringatan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati setiap kali membuat pembayaran secara dalam talian.
Sebelum memasukkan username, kata laluan atau PIN, pastikan alamat URL yang dipaparkan benar-benar milik laman rasmi bank. Jika terdapat ejaan pelik, domain yang mencurigakan atau paparan yang berbeza daripada kebiasaan, hentikan proses tersebut serta-merta.
Baca juga: Pelajar Perempuan Ini Terima Nota Lucah Bawah Meja Kelas, Netizen Gesa Sekolah Ambil Tindakan!
Sumber: Facebook Amal Zulkifli
