Euforia Bola 2026
Rakyat

“TOLAK Jemputan Jika Hidang Minuman Keras”- Jaga Imej, Pesanan Tegas CUEPACS Kepada Penjawat Awam

minuman keras

Terbaharu, penjawat awam diingatkan supaya tidak melibatkan diri dalam mana-mana majlis atau aktiviti yang mempunyai hidangan minuman keras, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, bagi menjaga imej dan integriti perkhidmatan awam.

Ini adalah berikutan tularnya beberapa isu mengenai hidangan minuman di majlis rasmi yang membangkitkan kemarahan dalam kalangan netizen.

Baca juga: JPN Tawar Tempahan ‘Foto Kenangan Terindah’, Papar MyKad Nostalgia Dari Usia 12 Tahun Hingga Wajah Terkini

MAJLIS HIDANG MINUMAN KERAS? PENJAWAT AWAM DILARANG UNTUK TERLIBAT!

minuman keras

Foto: BERNAMA

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat, menegaskan bahawa setiap penjawat awam perlu memelihara maruah serta profesionalisme selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Penyertaan dalam majlis yang boleh menjejaskan reputasi jabatan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan adalah sama sekali tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Adnan turut menasihatkan agar penjawat awam yang menerima jemputan ke mana-mana jamuan atau majlis makan malam supaya terlebih dahulu mendapatkan pengesahan daripada penganjur sekiranya terdapat keraguan tentang penyediaan minuman beralkohol.

“Jika majlis itu didapati melibatkan arak, penjawat awam hendaklah menolak jemputan berkenaan dan segera melaporkannya kepada ketua jabatan untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.

CUEPACS juga menyeru sektor swasta agar menghormati sensitiviti agama dan budaya tempatan, khususnya apabila menjemput penjawat awam menghadiri majlis mereka. Langkah ini penting bagi memastikan penganjuran majlis rasmi atau sosial tidak menyinggung mana-mana pihak serta sejajar dengan nilai moral masyarakat Malaysia.

“Semua jabatan dan agensi kerajaan juga disaran lebih berhati-hati dalam memilih acara yang disertai supaya imej perkhidmatan awam terus dihormati rakyat,” tambahnya.

ABIM Cadang Wujud Kod Etika Majlis Rasmi Negara, Mufti Pahang Pun Bersuara

minuman keras

Foto: freepik

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan menggubal satu Kod Etika Majlis Rasmi Negara bagi memperincikan garis panduan menyeluruh terhadap penganjuran majlis rasmi, termasuk larangan penyajian arak, etika berpakaian, dan disiplin penggunaan sumber awam.

Setiausaha Agung ABIM, Muhamad Aliemran Norasid, berkata langkah itu penting untuk memperkukuh integriti dan wibawa pentadbiran negara sejajar dengan nilai Malaysia MADANI dan prinsip Rukun Negara.

Majlis rasmi kerajaan perlu mencerminkan adab, profesionalisme dan tanggungjawab moral yang tinggi. Penyajian arak tidak selari dengan nilai kesopanan dan kehormatan yang menjadi tunjang pentadbiran kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar garis panduan tersebut kerana ia boleh menjejaskan imej negara dan mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, menegaskan bahawa walaupun hak individu bukan Islam untuk mengambil minuman keras secara peribadi dihormati, namun ia tidak wajar dijadikan hidangan dalam majlis kerajaan.

“Jika benar ada majlis rasmi kerajaan yang menghidangkan arak, ia sangat mengecewakan dan bertentangan dengan syariat Islam serta konsep Malaysia MADANI yang ditekankan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Menurut beliau, penyajian arak dalam majlis kerajaan tidak seharusnya berlaku sama ada majlis itu menggunakan dana awam atau ditaja oleh pihak swasta.

“Tidak kira siapa penajanya, majlis kerajaan mesti mencerminkan nilai moral dan adab yang tinggi kerana ia mewakili wajah negara di mata rakyat dan dunia,” ujarnya.

Kesimpulannya, isu penyajian arak dalam majlis rasmi bukan sekadar soal adat atau keagamaan, tetapi turut menyentuh nilai integriti, profesionalisme dan imej pentadbiran awam.

Baca juga: Scan, Bayar & Isi – Ini Cara Paling Senang Nikmati Subsidi RON95 Guna TNG eWallet, Boleh Semak Kelayakan Hari Ini!

Sumber: BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×