Menjelang musim perayaan, main mercun sering menjadi antara perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak. Namun, tanpa pengawasan yang rapi, ia boleh mengundang risiko dan membawa kepada kejadian yang tidak diingini.
Baca juga: Orang Ramai Boleh Kena Penjara & Denda Berat Kalau Main Mercun Tanpa Kebenaran
MAIN MERCUN PUNCA BUDAK 4 TAHUN PUTUS BEBERAPA JARI

Foto: Berita Harian
Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dilaporkan putus beberapa jari selepas dipercayai bermain mercun dalam satu kejadian yang berlaku di Kampung Tempoyak, dekat Merbok, Sungai Petani, semalam.
Menurut laporan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika mangsa dipercayai berada bersama dua lagi kanak-kanak berusia sembilan dan dua tahun.
Insiden berkenaan disedari oleh jiran berhampiran selepas terdengar bunyi letupan kuat sebelum disusuli tangisan kanak-kanak tersebut. Keadaan itu mencetuskan kebimbangan sehingga jiran tampil memaklumkan kepada ahli keluarga mangsa.
Mangsa kemudiannya segera dibawa oleh ahli keluarganya ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hanyan Ramlan, mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan pihak polis menerima laporan mengenainya di Balai Polis Tanjung Dawai kira-kira jam 2.15 petang pada hari yang sama.
Beliau berkata, hasil maklumat awal mendapati kanak-kanak itu mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan kiri akibat letupan mercun berkenaan. Difahamkan, beberapa jari mangsa putus selain turut mengalami kecederaan pada bahagian tapak tangan.
Menurut beliau lagi, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jenis mercun yang digunakan serta punca sebenar kejadian.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, khususnya Seksyen 31(1)(a), yang melibatkan kesalahan berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya.

Foto: Harian Metro
Insiden ini sekali lagi menjadi peringatan kepada masyarakat, khususnya ibu bapa dan penjaga, agar lebih berhati-hati serta memantau aktiviti anak-anak ketika bermain, terutamanya apabila melibatkan mercun atau bahan letupan kecil.
Walaupun permainan mercun sering dianggap sebagai sebahagian daripada kemeriahan sambutan perayaan, risiko kecederaan yang serius tidak boleh dipandang ringan. Tanpa pengawasan orang dewasa, kanak-kanak berisiko mengalami kecederaan kekal yang boleh memberi kesan kepada kehidupan mereka pada masa hadapan.
Baca juga: Syawal Pertama Dah Kecoh, Sofa RM4K Terbakar Gara-Gara Budak Baling Mercun Dalam Rumah!
Sumber: Berita Harian
FT Images: Berita Harian dan Harian Metro
