Menurut laporan, seorang bayi maut selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi 24 jam dalam kawasan Hospital Seberang Jaya. Bayi lelaki berusia empat bulan itu, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, sebelum ini dihantar ke pusat jagaan berkenaan sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi semalam.
Baca juga: Terlupa Hantar Rumah Pengasuh, Kanak-Kanak 2 Tahun Maut Tertinggal 9 Jam Dalam Kereta Di Seremban
BAYI MAUT DI TASKA HOSPITAL, KELUARGA MAHU MENUNTUT KEADILAN

Foto: Harian Metro
“Tidak ada langsung kemaafan. Apa yang berlaku ini tidak boleh diterima. Ia bukan perbuatan manusia,” luahan seorang bapa, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, selepas anak tunggalnya, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dilaporkan meninggal dunia di awal pagi semalam.
Syafaeez memaklumkan bahawa keluarganya tidak akan memaafkan individu yang dipercayai bertanggungjawab atas kematian anaknya.
“Kami tidak akan sesekali memaafkan individu yang terlibat. Dia ada meminta untuk melihat anak saya selepas kematiannya, tetapi kami tidak benarkan.
“Sebagai seorang bapa, saya akan menuntut keadilan hingga ke penghujungnya supaya perkara sama tidak berlaku kepada keluarga lain,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya.
Menurutnya lagi, dia menerima berita mengenai keadaan anaknya daripada isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, kira-kira selepas jam 4 pagi. Ketika itu, dia berada di Terengganu sebelum segera bertolak ke Pulau Pinang dan tiba di hospital sekitar jam 1 tengah hari.
Syafaeez berkata, walaupun berjauhan, dia dan isterinya akan membuat panggilan video setiap hari bagi membolehkan dia melihat perkembangan anak mereka.
“Saya berada di Terengganu manakala isteri bekerja sebagai jururawat di Hospital Seberang Jaya. Setiap hari kami akan membuat panggilan video supaya saya dapat melihat bayi kami.
“Kali terakhir saya melihatnya adalah sebelum jam 9 malam semalam. Ketika panggilan video itu, saya merasakan sesuatu yang luar biasa apabila dia memandang saya lama dan riak wajahnya kelihatan berbeza kerana sebelum ini dia sentiasa ceria,” katanya.
Tambahnya lagi, minggu lalu isterinya bersama bayi tersebut sempat pulang ke Terengganu. Malah, dia sepatutnya datang ke Pulau Pinang esok untuk membawa mereka membeli persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Namun, perkara itu tidak akan berlaku lagi,” katanya dalam keadaan sebak.
Dalam pada itu, Syafaeez turut memaklumkan bahawa dia sendiri yang menguruskan pendaftaran ketika menghantar bayi tersebut ke pusat jagaan berkenaan dan pernah mengunjungi premis itu sebelum ini.
Bagaimanapun, dia meluahkan kebimbangan terhadap keadaan tenaga kerja di pusat jagaan tersebut yang didakwa sering bertukar, selain tidak pasti sama ada pekerjanya mempunyai pengalaman mencukupi untuk mengendalikan bayi.
Jenazah Hayl Haarith dijangka dikebumikan pada jam 9 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang, Terengganu, selepas solat jenazah di Masjid Kampung Kelulut.
Terdahulu, media melaporkan bayi tersebut meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya.
Keluarga bayi berkenaan kini menuntut keadilan selepas mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu menunjukkan kemungkinan berlaku unsur penderaan. Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga.
*TERBAHARU: Dua pekerja pusat jagaan kanak-kanak tersebut telah direman.
Baca juga: Bayi Usia 6 Bulan Yatim Piatu Sekelip Mata, Ibu Bapa Maut Kemalangan Tragis Kereta Bertembung Lori
Sumber: Harian Metro
FT Images: Harian Metro
