Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa calon lepasan tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kini berpeluang mengikuti program tertentu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Baca juga: Guru Pendidikan Khas Sabah Raih Anugerah World Changer Award 2026, Harumkan Nama Malaysia
LEPASAN TAHFIZ DAN UEC BERPELUANG MELANJUTKAN PELAJARAN KE IPTA

Foto: Gemini AI
Perkara itu dipersetujui menerusi keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran pendidikan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Menurut KPT, calon daripada aliran terbabit yang turut memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon pelbagai program pengajian melalui sistem UPUOnline seperti biasa.
Permohonan tersebut akan dinilai berdasarkan merit serta pakej mata pelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Antara Program Yang Dibuka Untuk Lepasan Tahfiz
Bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program pengajian yang dikenal pasti termasuk,
- Diploma dan Sarjana Muda Dakwah
- Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah
- Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz
- Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah)
Langkah ini dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tahfiz untuk menyambung pengajian dalam bidang akademik dan profesional di IPTA.
Lepasan UEC Turut Berpeluang Ikuti Program Bahasa & Pengajian Cina

Foto: Gemini AI
Sementara itu, bagi lepasan SMPC/UEC pula, antara program yang ditawarkan ialah,
- Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian
- Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina
- Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina
- Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan
KPT turut memaklumkan bahawa calon daripada aliran tersebut yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM juga boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Walau bagaimanapun, semua permohonan masih tertakluk kepada syarat am dan syarat khas universiti serta proses pemilihan berdasarkan meritokrasi.
Menurut kementerian itu lagi, pendekatan berkenaan merupakan antara usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik serta kualiti sistem pendidikan tinggi negara.
Apa Itu SMPC & UEC?
SMPC ialah singkatan bagi Sekolah Menengah Persendirian Cina, iaitu sekolah swasta yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama.
Manakala UEC atau Unified Examination Certificate (Sijil Peperiksaan Bersepadu) pula merupakan peperiksaan standard yang diambil oleh pelajar SMPC di Malaysia.
Sijil UEC sebelum ini sering menjadi perdebatan kerana tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan, namun ia diiktiraf oleh banyak universiti swasta dan institusi luar negara.
Dengan pengumuman terbaharu ini, lebih ramai pelajar daripada pelbagai aliran pendidikan kini mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke IPTA mengikut bidang yang bersesuaian.
Sumber: Berita Harian
FT Images: Gemini AI
