Menerusi laman Facebook milik Syahirahh Hazwanii, dia ada meluahkan rasa terharu kerana menerima layanan baik klinik kesihatan.
Jelasnya, layanan yang diterima di Klinik Kesihatan Kampung Rahmat, Setiu, Terengganu itu bukan sahaja memenuhi aspek profesionalisme dalam rawatan, malah disulami dengan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.
Baca juga: Ibu Kongsi Momen Cemas, Simpanan Tabung Haji Anak Makin Berkurang, Trik ‘Scammer’ Memang Licik!
IBU TERHARU TERIMA LAYANAN BAIK KLINIK KESIHATAN

Setiap staf yang bertugas menunjukkan sikap prihatin, sabar dan empati yang amat dihargai, terutama ketika berhadapan dengan situasi kecemasan yang melibatkan ahli keluarga saya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga kerja Klinik Kesihatan Kampung Rahmat atas layanan yang sangat baik, penuh empati dan keprihatinan sewaktu kunjungan saya hari ini.
“Pada hari ini, saya hadir ke klinik sekitar jam 1 lebih petang bersama kakak ipar saya yang mengalami sakit kepala teramat teruk serta muntah berulang kali,” luahnya.
Syahirah meminta anak lelakinya, Haider untuk menunggu sebentar untuk mendaftar. Setelah selesai, dia mendapati Haider sudah tertidut di atas kerusi rotan yang tersedia.
Lebih menyentuh hati apabila kerusi rotan tersebut dicantumkan seperti katil untuk memastikan Haider tidak jatuh ke atas lantai.
“Dalam kekalutan menguruskan keadaan beliau yang terus dihantar ke zon resus, saya meminta anak saya, Haider untuk duduk sebentar di ruang menunggu bersama anak saudara saya yang sedang menunggu giliran untuk pendaftaran.
“Selesai urusan di resus, saya kembali mendapatkan anak-anak yang menunggu. Hati saya tersentuh apabila melihat anak saya telah tertidur di atas kerusi rotan di ruang tersebut. Dalam sibuk menguruskan pendaftaran pula, saya sesekali menoleh ke arah kerusi, risau jika anak saya tergolek jatuh dari tempat duduk.
“Namun, sebaik selesai urusan di kaunter luar, saya kembali dan terkejut apabila melihat kerusi-kerusi rotan itu telah dicantumkan dengan begitu baik agar anak saya boleh tidur dengan lebih selesa dan selamat. Tindakan kecil ini, walaupun mungkin dianggap biasa oleh sesetengah orang, sangat menyentuh hati saya sebagai seorang ibu,” katanya.
Si ibu turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf di klinik kesihatan tersebut kerana layanan yang diberikan sungguh memuaskan.
Layanan baik klinik kesihatan pastinya bukan sahaja memberi keselesaan kepada pesakit, malah turut mencerminkan komitmen dan dedikasi para petugas.
“Saya tidak tahu siapa insan yang membantu, tetapi saya yakin perbuatan itu lahir daripada keikhlasan dan hati yang penuh belas kasihan. Terima kasih kerana menjadi contoh kepada nilai kemanusiaan yang sebenar.
Sekali lagi, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua staf di KK Kg Rahmat yang bukan sahaja memberikan rawatan yang cekap, malah menyebarkan kasih sayang dan kebaikan dalam bentuk yang sangat bermakna. Semoga Allah SWT merahmati setiap langkah kalian,” ujarnya.
Baca juga: Ada Sepasang Kasut Berlumpur Ditemukan Di Sebelah Peti Ais Rumah Zayn Rayyan
Sumber: Facebook Syahirahh Hazwanii
