Polis mengesahkan dakwaan mengenai kes culik membabitkan seorang pelajar sekolah di Kuala Nerang yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar. Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan yang dijalankan mendapati pelajar lelaki berusia 14 tahun itu telah membuat laporan palsu kepada polis selepas berdepan situasi yang memalukan di sekolah.
BUAT LAPORAN PALSU DICULIK GARA-GARA MALU TERSILAP MASUK TANDAS PEREMPUAN

Menurut beliau, insiden sebenar bermula apabila pelajar tersebut secara tidak sengaja memasuki tandas perempuan selepas tamat sesi persekolahan.
“Pelajar ini beritahu, selepas tamat sesi persekolahan telah tersilap memasuki tandas perempuan di kawasan surau. Ketika hendak keluar, terserempak seorang pelajar perempuan yang berada dalam tandas.
“Mangsa kemudiannya terus melarikan diri kerana panik setelah diekori beberapa pelajar perempuan yang mempersoalkan tindakannya,” jelasnya.
Menurut Adzli, pelajar itu kemudiannya keluar dari kawasan sekolah dalam keadaan panik kerana masih diekori beberapa pelajar perempuan yang menjerit ke arahnya.
“Dia dalam keadaan buntu dan tertekan, dia telah menahan sebuah motosikal dan ditumpangkan ke kawasan Ladang Sungai Seraya,” katanya.
Pelajar ini kemudian menunjukkan satu rumah yang kononnya itu adalah rumahnya dan turun di situ namun tuan rumah mengesyaki sesuatu mencurigakan.
Berikutan itu, tuan rumah menghubungi polis kira-kira jam 7 petang Ahad dan mangsa kemudian membuat laporan polis kononnya diculik.
Jadi dalam kes ini sebenarnya pelajar ini selamat dan tiada kejadian culik dan saya gesa masyarakat supaya jangan mudah sebar maklumat tak betul yang boleh mendatangkan kegusaran masyarakat.
Sebelum ini, pelajar terbabit mendakwa dirinya diculik oleh dua individu ketika berada di sebuah hentian bas berhampiran Balai Bomba Kuala Nerang.
Dia mendakwa telah ditutup mata dan mulut, diikat tangan serta kaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan. Namun, siasatan lanjut mendapati kejadian itu tidak berlaku seperti yang dilaporkan.

Pernah dakwa jadi mangsa buli di sekolah lama
Dalam perkembangan sama, polis memaklumkan pelajar berkenaan turut mendakwa pernah menjadi mangsa buli ketika belajar di sebuah sekolah di Alor Setar sebelum berpindah ke Kuala Nerang.
Hasil semakan mendapati mangsa pernah membuat laporan polis pada 18 Jun lalu berkaitan dakwaan dipaksa mengambil makanan untuk pelajar senior.
Susulan itu, empat pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima telah dipanggil bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka direkodkan.
Selain itu, polis turut mengambil keterangan daripada penunggang motosikal yang membantu pelajar tersebut serta pemilik rumah yang menghubungi pihak berkuasa.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Baca juga: [VIDEO] Anak Istimewa Pimpin Tangan Rakan OKU Ke Sekolah, Kisah Abang Aidi Buat Ramai Sebak
Sumber: Sinar Harian
