Tindakan berani sekumpulan kanak-kanak yang memilih untuk beraya di balai polis ternyata mencuit hati ramai, malah kisah spontan mereka terus menjadi perbualan hangat di media sosial.
Siapa sangka, keberanian empat kanak-kanak ini berjalan kaki semata-mata untuk beraya telah menceriakan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah balai polis di Pulau Pangkor, Perak.
TULAR 4 KANAK-KANAK BERAYA DI BALAI POLIS

Gambar: TikTok @nrl_2203
Datang beri salam, polis turut terkejut dengan kehadiran tetamu kecil
Menerusi perkongsian di aplikasi TikTok oleh pengguna @Dik_yull, kehadiran empat kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun itu dilihat memeriahkan suasana pada 21 Mac lalu.
Gelagat mereka yang datang memberi salam dan menyatakan hasrat untuk beraya membuatkan anggota polis bertugas pada mulanya terkejut, namun dalam masa sama terhibur dengan keberanian mereka.
Menurut Koperal Nurul Huda Ismail, situasi tersebut merupakan pengalaman yang jarang berlaku sepanjang beliau bertugas di balai berkenaan.
“Pintu balai memang terbuka secara automatik, jadi kami menjemput mereka masuk untuk duduk dan makan. Terdapat lemang, rendang dan biskut raya di ruang tamu.
“Sambil melayan mereka, kami turut terkejut dengan kegigihan mereka beraya dengan berjalan kaki. Jauh juga perjalanan mereka pada hari pertama Syawal,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, sepanjang dua tahun berkhidmat di situ, kunjungan seperti itu belum pernah berlaku sebelum ini. Malah, anggota lain juga teruja melihat gelagat bersahaja kanak-kanak tersebut yang tidak segan untuk datang beraya.
“Semua terkejut sambil tersenyum melihat gelagat bersahaja mereka. Tidak pernah kanak-kanak datang beraya di balai.
“Malah, Sarjan operasi berkata, ‘selama saya bekerja di sini, ini kali pertama perkara seperti ini berlaku’,” ujarnya.

Gambar: TikTok @nrl_2203
Bukti hubungan rapat antara polis dan masyarakat
Perkongsian video tersebut kemudiannya tular di media sosial dengan meraih 1.2 juta tontonan serta 93 ribu tanda suka.
Ramai warga maya turut meninggalkan komen positif dan menganggap tindakan kanak-kanak itu sebagai sesuatu yang mencuit hati serta menggambarkan suasana masyarakat yang harmoni.
Menurut Nurul Huda lagi, kehadiran kanak-kanak tersebut bukan sekadar menceriakan suasana, malah memberi mesej penting kepada masyarakat bahawa institusi polis sentiasa terbuka dan mesra dengan orang ramai.
“Insiden ini juga menunjukkan institusi polis bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, kami sentiasa terbuka dan dekat dengan masyarakat, khususnya kanak-kanak.
“Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan suasana, malah menggambarkan hubungan positif serta kepercayaan antara polis dan komuniti.
“Saya berharap semangat ini dapat diteruskan dalam membina masyarakat yang lebih harmoni, saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Kisah ringkas ini mungkin nampak kecil, namun ia memberi gambaran besar tentang nilai keberanian, keikhlasan dan hubungan baik antara masyarakat dengan pihak berkuasa. Kadangkala, tindakan spontan kanak-kanak mampu mencipta kenangan manis yang sukar dilupakan.
@nrl_2203 Seumur hidup akak, pertama kali orang mai beraya di balai hahahahha. Siap bagi salam kami nak beraya…Mai dik masuk makan lemang ngan rendang.. Nasib la pagi raya ada makan-makan.. budak lain tak berani mai balai depa elok mai beraya.. Duk atas karpet takut sofa kotor katanya… ❇️SELAMAT HARI RAYA❇️ #Balaipolispangkor #berayasakan #fyp ♬ bunyi asal – ᴛʀᴏᴘɪᴄᴀɴᴀ-ᴛᴡɪꜱᴛᴇʀ
Sumber: TikTok @nrl_2203 / Sinar Harian
FT Image: TikTok @nrl_2203
