‘Pulau Kedua Terbaik Dunia’, itulah gelaran terbaharu yang diterima Pulau Langkawi apabila berjaya meraih kedudukan tersebut dalam senarai Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025 oleh portal pelancongan terkenal dunia, Conde Nast Traveler.
Dengan markah cemerlang 92.99, Langkawi sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa selepas menewaskan beberapa destinasi pelancongan ikonik dunia. Antaranya ialah Bali di Indonesia (markah 89.84, tempat keenam) dan Phuket di Thailand (84.62, tempat kesembilan).
LANGKAWI DIIKTIRAF PULAU KEDUA TERBAIK DUNIA
Pulau Phu Quoc di Vietnam dinobatkan sebagai juara dengan markah tertinggi 95.51, diikuti Langkawi di tempat kedua. Koh Samui (Thailand) dan Boracay (Filipina) pula menduduki tangga ketiga dan keempat dengan markah 92.7 dan 90.54.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin, pengiktirafan ini bukan sekadar angka, tetapi bukti hasil usaha pelbagai pihak dalam memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Ini adalah hasil dedikasi seluruh komuniti Langkawi. Daripada penggiat industri pelancongan, pengusaha hotel, pemandu pelancong, peniaga kecil, nelayan, sehinggalah kepada agensi kerajaan negeri dan persekutuan, pihak swasta serta NGO,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa kejayaan ini menunjukkan Langkawi bukan sekadar sebuah pulau, tetapi jenama pelancongan antarabangsa yang menjadi kebanggaan Kedah dan seluruh rakyat Malaysia.
“Syabas kepada semua yang telah menjadikan Langkawi destinasi bertaraf dunia. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” katanya lagi.
Baca juga: 9 Tempat Camping Terbaik Di Malaysia Janjikan Kedamaian Minda, Buat Anda Nak Terus Kemas Beg!
Tarikan Langkawi kekal relevan
Langkawi sememangnya dikenali dengan keindahan alam semula jadinya, pantai yang memukau, hutan hujan tropika serta statusnya sebagai Geopark pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf UNESCO.
Gabungan keindahan alam, kemudahan moden dan pengalaman budaya menjadikan pulau legenda Mahsuri ini kekal menjadi destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pengiktirafan global
Anugerah tahunan Reader’s Choice Awards oleh Conde Nast Traveler merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam dunia pelancongan, di mana jutaan pembaca dari seluruh dunia mengundi destinasi kegemaran mereka setiap tahun.
Kejayaan Langkawi berada di tangga kedua dunia bukan sahaja menandakan tahap kecemerlangan industri pelancongan Malaysia, tetapi juga menjadi bukti bahawa pulau ini terus menjadi permata berharga di rantau Asia Tenggara.
Baca juga: 7 Tempat Percutian Low-Profile Di Malaysia Belum Ramai Jejak Kaki, Pemandangannya Memukau Habis!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Harian Metro

