Awal pagi Isnin, negara dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak. Berikut adalah kronologi nahas UPSI yang telah meragut 15 nyawa penuntut universiti itu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik.
Baca juga: Rider Kecewa Pakaian Pelanggan Menjolok Mata Ambil Makanan, “Tahu Saya Dah Nak Sampai, Tapi Kenapa…”
KRONOLOGI NAHAS UPSI

Jam 1.10 pagi – Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Gerik berhubung insiden berkenaan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan sebuah bas terbalik dan sebuah MPV terbabas ke dalam parit dalam nahas itu.
Keseluruhannya 48 mangsa terbabit, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital.
Penumpang bas adalah mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
Jam 9.32 pagi – UPSI mengesahkan 42 penuntut universiti itu terbabit dalam kemalangan di JRTB Banun, Gerik, awal pagi Isnin.
Jam 11.21 pagi – Tiga belas jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut mengesahkan 15 pelajar UPSI meninggal dunia dalam kemalangan itu.
Jam 12.04 tengah hari – Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bas berkenaan membawa 42 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun, kesemuanya dari Pantai Timur.
Pemandu bas yang berusia 40 tahun dan pembantunya berusia 54 tahun disahkan cedera dalam kemalangan itu.
Turut cedera, pemandu dan penumpang MPV terbabit iaitu sepasang suami isteri berusia berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki yang berusia enam dan tiga tahun.
Sebanyak 27 pelajar UPSI iaitu 23 perempuan dan empat lelaki mengalami kecederaan manakala 13 jenazah dihantar ke HRPB dan dua jenazah lagi di Hospital Gerik.
Proses bedah siasat masih berjalan.
Jam 2.25 petang – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan berkenaan.
Baca juga: “Neraka Bukan Bahan Jenaka”, PU Syed Kecam Konten Video Tular Didakwa Persenda Agama

Gambar BERNAMA – Konvoi 19 van membawa jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mula meninggalkan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menuju ke Jertih, Terengganu pada 8.55 malam tadi.
Jam 5.30 petang – Identiti enam daripada 15 pelajar UPSI yang maut dikenal pasti.
UPSI memaklumkan mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.
Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.
Jam 6.30 petang – Jenazah dua pelajar UPSI dibawa pulang menaiki van jenazah untuk pengebumian setelah selesai dibedah siasat pada jam 6 petang.
Mereka ialah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dan Muhammad Adib Hazim Halim, 21.
Jam 6.51 petang – Bedah siasat 13 jenazah pelajar UPSI di HRPB selesai.
Jam 8.55 malam – Konvoi 13 van jenazah pelajar UPSI yang terkorban mula meninggalkan Jabatan Forensik HRPB menuju ke Masjid Hadhari, Jerteh, Besut, Terengganu untuk solat jenazah
Konvoi van jenazah itu bergerak serentak dari HRPB dengan diiringi beberapa kenderaan polis melalui laluan Ipoh-Gerik-Jeli-Tanah Merah-Machang sebelum tiba di Jerteh.
10.20 malam – Nurul Ain Zakaria, 36, isteri kepada pemandu MPV dan anak perempuan mereka Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Baling.
Suaminya Mohd Lutfi Radzi, 37, dan anak bongsu mereka Muhammad Ahsan Nafis, 2, yang turut cedera telah dibenarkan pulang petang tadi selepas menerima rawatan di hospital sama.
Baca juga: Dua Beranak Maut Dalam Kemalangan, Anak Sulung Ceritakan Detik Ngeri Ketika Kenderaan Terjunam Gaung

Gambar oleh Mohd Syafiq Ambak – Jenazah Muhammad Adib Hazim Halim yang tiba di Masjid Hadhari, Jaih untuk solat jenazah.
10.45 malam – Jenazah Muhammad Adib Hazim Halim selamat tiba di Masjid Hadhari, Jertih.
Usai disembahyangkan, jenazah kemudiannya dibawa ke Kampung Pasir Badak, Hulu Besut untuk dikebumikan.

Gambar oleh Shahuri Saidi – Jemaah menunaikan solat jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad di Masjid Al-Mukhlisin Kampung Amer.
11.13 malam – Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad tiba di Masjid Al-Mukhlisin Kampung Amer, Kampung Raja, Besut.
Penduduk dan keluarga terdekat beserta rakan-rakannya turut hadir menyempurnakan solat jenazah dan memberikan penghormatan terakhir di masjid berkenaan.
11:37 malam – Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer, Besut.

Gambar oleh Nik Abdullah Nik Omar – Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi mengimankan solat jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut akibat kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat di Masjid Hadhari.
Jam 2.55 pagi – Konvoi van yang membawa 13 jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak, tiba di pekarangan Masjid Hadhari, Jertih.
Seramai lebih 3,000 orang melaksanakan solat jenazah yang diimamkan Exco Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Jenazah selesai disembahyangkan pada 3.15 pagi Selasa dan kemudian akan dikebumikan di kampung masing-masing pagi ini.
Masjid Hadhari merupakan lokasi pertemuan para pelajar sebelum mereka menaiki bas untuk pulang ke UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha, kira-kira pukul 9 malam, Ahad.
Baca juga: Dua Beradik Warga Emas Sedekad Tak Bertegur, Dipertemukan Semula Kerana Anak-Anak, Meruntun Hati!
Sumber: Berita Harian / Sinar Harian / Kosmo / BERNAMA / Harian Metro / Buletin TV3
FT Image: Berita Harian / Harian Metro
