Euforia Bola 2026
Nur

Kisah 4 Srikandi Islam Zaman Nabi Yang Keluar Berjihad Di Jalan Allah Walaupun Bergelar Ibu, Jiwa Pejuang!

tokoh wanita islam

Peranan wanita dalam perjuangan Islam bukanlah perkara baharu. Dalam lipatan sejarah, ada beberapa tokoh wanita Islam yang hebat tampil berjihad dan berkorban, meskipun mereka sudah berkeluarga.

Keberanian dan keikhlasan mereka menjadi bukti bahawa jihad bukan hanya milik lelaki, tetapi juga ruang pengabdian bagi wanita yang berani mempertahankan agama, maruah, dan umat.

Baca juga: Ramai Baca Surah Al-Waqiah, Tapi Tak Tahu Cara Amal Ayat 74 & 96 Jadi RAHSIA Anda Cepat Kaya Raya!

4 TOKOH WANITA ISLAM YANG KELUAR BERJIHAD ZAMAN NABI WALAUPUN SUDAH BERKELUARGA

tokoh wanita islam

Foto: freepik

Berkaitan mengenai isu wanita keluar berjihad atau berperang seperti zaman Nabi, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hukum wanita keluar berjihad di luar negara pada asasnya tidak wajib. Namun, dalam konteks dunia hari ini, penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan atau jihad boleh menjadi harus apabila wujud keperluan khususnya dalam membantu wanita lain yang terkesan akibat peperangan.

“Sumbangan mereka dalam pelbagai aspek untuk menjayakan sesuatu misi jihad merupakan perkara yang dituntut dan terpuji, selagi mematuhi garis panduan syarak,” jelas Pejabat Mufti WP.

Kenyataan itu membuka ruang untuk kita menelusuri kisah tokoh-tokoh wanita Islam terdahulu yang menjadi simbol keberanian dan keteguhan hati dalam perjuangan.

1. Nusaybah binti Ka’ab – Perisai Rasulullah SAW di Medan Uhud

Nama Nusaybah binti Ka’ab, atau lebih dikenali sebagai Ummu Imarah, tercatat sebagai antara wanita paling berani dalam sejarah Islam. Beliau berasal daripada Bani Najjar di Madinah dan pernah berkahwin dua kali, memiliki empat orang anak. Namun, statusnya sebagai isteri dan ibu tidak pernah menghalang beliau untuk turun ke medan jihad.

Ketika Perang Uhud, Nusaybah tampil mempertahankan Rasulullah SAW ketika ramai tentera Islam berundur. Dengan baju perisai dan pedang di tangan, beliau menahan serangan musuh sehingga tubuhnya dipenuhi luka. Rasulullah SAW sendiri berdoa untuknya:

“Ya Allah, jadikanlah Nusaybah dan anaknya sebagai sahabatku di dalam syurga..”

Doa itu menjadi bukti betapa besar jasa dan keberanian seorang wanita yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi melindungi Baginda.

2. Ummu Haram binti Milhan – Srikandi Lautan Mediterranean

Ummu Haram, isteri kepada sahabat Nabi SAW, Ubadah bin Samit, dan ibu saudara kepada Anas bin Malik, juga dikenang sebagai wanita pertama Islam yang menyertai misi jihad di lautan.

Beliau mencadangkan kepada Khalifah Umar al-Khattab agar ekspedisi Islam ke Pulau Cyprus dijalankan, namun cadangan itu ditolak atas faktor keselamatan. Setelah diterima oleh Khalifah Uthman bin Affan, Ummu Haram turut serta dalam pelayaran jihad itu bersama suaminya.

Namun, takdir menentukan, beliau terjatuh daripada untanya ketika sampai di daratan dan wafat di situ. Makamnya kini dikenali sebagai Hala Sultan Tekke, di Cyprus menjadi bukti abadi keberanian seorang wanita yang mengorbankan segalanya di jalan Allah.

3. Safiah binti Abdul Mutalib – Ibu Pahlawan, Wanita Pertama Hunus Senjata Medan Uhud

Nama Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib juga diingati sebagai wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata di medan perang. Beliau ialah ibu kepada pahlawan terkenal Zubair bin Awwam dan ibu saudara kepada Rasulullah SAW.

Safiah bukan sahaja wanita yang tekun beribadah, tetapi juga seorang pejuang yang tabah. Dalam Perang Uhud, beliau bertugas membantu tentera Muslimin seperti menyediakan air, membalut luka, dan membaiki panah. Namun apabila melihat situasi semakin genting, beliau mengangkat pedang dan turut berjuang menentang musuh.

Safiah juga tabah menghadapi kehilangan saudaranya, Saidina Hamzah, yang syahid dengan cara menyayat hati. Apabila Rasulullah SAW cuba menghalangnya daripada melihat jasad tersebut, beliau tegas menjawab:

“Aku sudah bersedia untuk menghadapi apa sahaja demi Allah dan Rasul-Nya.”

Beliau bukan sahaja simbol kekuatan wanita di medan perang, tetapi juga contoh ibu yang mendidik anaknya agar teguh di jalan perjuangan.

4. Ummu Hakim binti Harith – Cinta, Iman dan Keberanian Sejati

Ummu Hakim binti Harith ialah lambang keberanian dan cinta sejati dalam sejarah Islam. Beliau menerima Islam ketika suaminya, Ikrimah bin Abu Jahal, masih menentang Rasulullah SAW. Setelah pembukaan Mekah, Ikrimah melarikan diri ke Yaman, namun Ummu Hakim berangkat mencarinya dengan keberanian luar biasa demi membawanya kembali.

Hasil usaha dan kesetiaannya, Ikrimah akhirnya memeluk Islam dan kembali bersama beliau ke Mekah. Kedua-duanya kemudian berjuang di medan perang menegakkan agama Allah, sehingga Ikrimah gugur syahid dalam Perang Yarmuk.

Dalam kesedihan, Ummu Hakim bangkit melawan dengan membunuh tujuh musuh dengan tangannya sendiri. Keberanian itu menjadikannya simbol ketabahan dan kekuatan iman yang tak tergugat walaupun diuji kehilangan.

tokoh wanita islam

Foto hiasan.

*Kesimpulannya, kisah empat srikandi Islam ini membuktikan bahawa wanita bukan hanya pelengkap perjuangan, tetapi juga tulang belakang kekuatan umat. Mereka berjuang bukan kerana nafsu peperangan, tetapi kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.

Baca juga: Keffiyeh Bukan Sekadar Kain, Ini Maksud Setiap Corak Yang Ditenun Jadi Lambang Solidariti Dunia

Sumber: Berita Harian, Ikhlas.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×