Situasi berkongsi rumah atau bilik dengan rakan berlainan agama memang semakin biasa, terutama di kolej kediaman. Tujuannya baik iaitu untuk memupuk integrasi dan hubungan harmoni antara kaum. Namun, ada yang tertanya-tanya adakah ada batasan aurat wanita Islam dengan wanita agama lain?
Soalan ini pernah diajukan sendiri oleh seorang pelajar perempuan yang keliru tentang adab dan batasan aurat kepada Ustazah Asma’ Harun. Berikut merupakan penjelasan mendalam.
BATAS AURAT WANITA ISLAM DENGAN WANITA NON-MUSLIM, ADA KE?

Foto: freepik
Menurut Ustazah Asma’, memang betul integrasi kaum adalah usaha yang baik. Tetapi dalam bab pergaulan berkongsi bilik, pihak pengurusan rumah atau kolej kediaman juga sepatutnya peka dengan keperluan syarak khususnya hal aurat.
Mengasingkan bilik bukan bermaksud menjauhkan diri daripada rakan non-Muslim. Kita masih boleh bergaul, belajar bersama dan berinteraksi di banyak ruang lain tanpa mengabaikan tuntutan agama. Batas aurat wanita secara umum:
1. Seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan
Hadis Rasulullah SAW kepada Asma’ Binti Abu Bakar r.a menjelaskan perkara ini dengan jelas.
Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya jika seorang wanita sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (Baginda mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”– (HR Abu Daud, hadis sahih)
- Aurat Ketika Solat: Wajib tutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
- Aurat Ketika Berseorangan : Ulama menasihatkan supaya wanita tetap menjaga aurat minimum (antara pusat hingga lutut) kerana sifat malu kepada Allah SWT dan malaikat.
- Aurat Ketika Bersama Mahram & Wanita Muslim: Antara pusat hingga lutut, tetapi tidak boleh menampakkan anggota yang boleh menimbulkan fitnah atau syahwat walaupun kepada mahram lelaki.
Ulama Bezakan Dua Pandangan, Jadi Apa Yang Paling Praktikal Jika Duduk Sebilik Dengan Non-Muslim?
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, terutama dalam mazhab Syafi’i.
1. Pandangan Pertama (Majoriti Fuqaha)
Aurat wanita Muslimah di hadapan wanita non-Muslim : Seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Ini seperti hukum di hadapan lelaki ajnabi.
2. Pandangan Kedua (Sebahagian Ulama Syafi’e)
Aurat yang boleh dilihat wanita non-Muslim ialah anggota yang kebiasaannya tersingkap ketika bekerja, iaitu:
- Kepala & leher
- Tangan hingga siku
- Kaki hingga bawah lutut
Pandangan ini dikukuhkan oleh ulama seperti:
- Syeikh Ibnu Hajar Al-Haitami
- Imam Al-Qalyubi
- Syeikh Zakaria al-Ansori
- Dr. Wahbah Az-Zuhaili
Menurut mereka, wanita non-Muslim boleh melihat apa yang biasanya terdedah dalam urusan harian bukan secara sengaja, tetapi sebagai keperluan hidup.
Jadi, jika situasi memaksa atau tiada pilihan lain (seperti ditempatkan automatik dalam bilik bercampur), ulama membenarkan Muslimah menzahirkan aurat yang kebiasaannya perlu ketika berada di ruang rumah iaitu:
– Kepala & leher
– Lengan
– Kaki

Foto: freepik
Namun tetap perlu berjaga-jaga dan elakkan mendedahkan tubuh secara berlebihan atau berpakaian terlalu singkat. Yang penting, jaga akhlak, saling hormat, dan sentiasa berusaha menjaga batas semampu mungkin.
Baca juga: Bukan Mudah Mendulang Emas Kerana Banyak ‘Penunggu’ Menjelang Solat Jumaat, Baca Doa Pendinding INI
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
