Sesi pembukaan sekolah bagi tahun 2025 telah bermula dan sudah semestinya pelbagai ragam hari pertama persekolahan dirakam oleh ibu bapa. Ada yang seronok, ada yang menangis namun ada satu perkongsian video mengenai murid sekolah istimewa ini mendapat perhatian ramai.
Mendapat tontonan lebih dari 2.5 juta di laman Tiktok, rakaman murid tersebut berjalan bersama rakan-rakan di sekolah menjadi tular dan mengundang sebak. Mengapa?
Baca juga: Awalnya Ingat Hanya Sakit Bahu, Anak Amyza Aznan Disahkan Hidap Kanser Paru-Paru Tahap 3!
NETIZEN SEBAK & KAGUM LIHAT MURID SEKOLAH ISTIMEWA KE SEKOLAH, SELIPAR DI TANGAN…

“ADIK jalan, jalan. Boleh tak? Adik baik-baik eh.”
Begitulah suara keterujaan seorang ibu melihat anak lelakinya begitu bersemangat di hari pertama persekolahan pada Isnin meskipun berstatus orang kurang upaya (OKU). Menerusi video yang dikongsikan dalam Tiktok milik @sitiazah yang merupakan ibu, anaknya itu berjalan menggunakan kedua-dua tangan dan kakinya, dengan dua tangan disarungkan dengan selipar bagi memudahkan pergerakan.
Ibu berusia 38 tahun ini menemani anaknya, Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah yang berusia lima tahun memasuki prasekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Waha di Kota Tinggi, Johor. Dia turut memaklumkan bahawa anaknya menghidap sindrom caudal regression (CRS) yang dilahirkan tanpa lutut dan betis sejak lahir.
“Ya, anak saya OKU. Tapi sebagai ibu, saya mahu dia dalam persekitaran normal bersama kanak-kanak normal lain.
“Macam pagi tadi, cikgu tak bagi dia beratur jalan dari kantin ke perhimpunan sekolah. Tapi nanti dia tak rasa momen-momen di sekolah bersama kawan-kawan,” katanya.
Bercerita lanjut dalam laporan Mstar, ibu tunggal yang mesra disapa Azah ini memaklumkan anak bongsu daripada lima beradik itu memang dilatih untuk hidup lebih berdikari berbanding usia dan keadaan yang dialami kanak-kanak itu.
“Dia faham bila ada orang terkejut dengan keadaan dia. Macam sekolah di luar ada budak tak tahu tanya eei kaki dia kenapa? Tapi dia kuat, dia tak hiraukan dan tak berkecil hati pun.
“Anak saya ni memang budak yang sangat aktif, happy-go-lucky dan paling menyenangkan,” ujarnya.
“KENAPA TAK GUNA KERUSI RODA?”
@sitiazah87 hari pertama sekolah… happy je erk dik..ibu yg nervous..😂😂 #oku #caudalregressionsyndrome #cleftlipsnpalate #ibuanak5😍😘😁✌️ #pejuanghidupbahgia #malaysianindonesia🇮🇩🇲🇾 #fyppppppppppppppppppppppp ♬ bunyi asal – are-zah
Mengakui sangat gementar berhadapan situasi anak istimewa itu masuk ke alam persekolahan, namun sebagai ibu tunggal, dia terpaksa mengajar anak-anaknya untuk berdikari juga. Ramai juga dalam kalangan netizen yang bertanya mengapa tidak disediakan kerusi roda, ini jawapannya.
“Masa dia lahir, kaki dia tak bergerak. Masa enam bulan, ibu jari kaki baru bergerak. Dan mula merangkak masa umur setahun tiga bulan. Sekarang ni dalam keadaan macam tu, biarlah dia jalan ikut keselesaan dia.
“Biarpun tak ada tapak kaki, dia mampu berdiri. Kalau dia berkerusi roda, siapa nak tolak dia?
“Lagipun cikgu kata IQ dia normal. Biarlah orang nak kata apa, saya mahu dia jadi lebih berdikari. Memang saya nak dia macam orang normal, bergerak bebas dan berdikari,” katanya sambil menambah dia mempunyai dua lagi anak yang turut belajar di sekolah sama untuk memantau keadaan adik mereka.
*Jadi, didoakan semoga anak istimewa ini terus semangat dan tabah dalam mengharungi segala ujian yang mendatang. InsyaAllah akan membesar menjadi seorang individu yang hebat kerana dari kecil sudah dilatih menjadi hebat!
Baca juga: Kronologi Insiden Menyayat Hati Pakcik OKU Dipukul & Diheret Di Pasar Tani, Tergamaknya Manusia..
Sumber: Tiktok @sitiazah, Mstar
