Perkongsian mengenai dua beradik ini di media sosial kembali tular, rentetan kisah terbaru mereka dihalau keluar rumah oleh saudara sendiri, selepas melalui sejarah hidup yang cukup menyedihkan sebelum ini.
Kisah menyayat hati melibatkan dua beradik ini mengundang sebak ramai susulan perkongsian dibuat oleh Herman Sudil di Facebook mengenai dugaan hidup yang menimpa mereka sejak kecil.
KISAH MENYAYAT HATI DUA BERADIK YANG DIUJI SEJAK KECIL

Gambar Herman Sudil, hantaran tahun lalu.
Menurut perkongsian Herman Sudil sebelum ini, kehidupan dua beradik tersebut bermula dengan penuh cabaran apabila ibu mereka bercerai sebelum kemudian meninggal dunia.
Selepas itu, mereka berpindah dari satu penjaga ke penjaga lain termasuk bapa tiri dan datuk nenek, sebelum akhirnya kembali kepada bapa kandung.
Namun bukannya kasih sayang yang diterima dari bapa kandung, mereka didakwa hidup dalam ketakutan apabila dipaksa bekerja dan dibelasah jika tidak menurut kehendak.
Lebih menyedihkan, kedua-dua mereka pernah dimasukkan ke hospital hampir dua minggu akibat kecederaan teruk dipercayai akibat dipukul pada tahun lalu.
“Mereka dipukul bukan sebab nakal tapi sebab nak sekolah saja… dan bapak kandung sendiri tak benarkan,” kongsinya.
Kejadian itu menyebabkan pihak berkuasa akhirnya campur tangan sebelum membawa mereka keluar daripada situasi tersebut. Mereka kemudiannya ditempatkan di Rumah TBQ Amal sebagai tempat perlindungan sementara.
Menurut Herman, keadaan fizikal kedua-dua kanak-kanak itu ketika diselamatkan amat menyedihkan dengan kesan lebam di seluruh tubuh.
“Kesian ada banyak kesan lebam dan pukul dekat budak ini. Bayangkan kalau 2 minggu duduk hospital agaknya berapa teruk kena dera dan belasah?
“Macam mana lah orang boleh tak sayang kan anak sendiri? Tak kesian ke tengok budak nangis kena belasah?” antara perkongsian yang dikongsikan pada 11 September tahun lalu.

Gambar Herman Sudil, hantaran baru-baru ini.
Disangka mendapat kehidupan baru, rupa-rupanya diuji lagi
Dalam perkembangan terbaru, dua beradik ini sekali lagi diuji apabila mereka dihantar ke rumah saudara di negeri lain dengan harapan dapat memulakan hidup baru.
Namun apa yang berlaku sebaliknya lebih menyayat hati apabila mereka didakwa dihalau keluar dari rumah tersebut.
“Baju kena campak luar rumah. Baru balik sekolah dah kena halau,” menurut perkongsian yang dibuat Herman Sudil pada 6 Mei, baru-baru ini.
Lebih memilukan, mereka hanya keluar dari rumah dengan beg pakaian tanpa arah tujuan dan tidak tahu ke mana harus pergi.
Dalam keadaan terdesak, kedua-dua beradik itu akhirnya menghubungi semula Rumah TBQ Amal dan meminta untuk pulang ke Johor kerana menganggap tempat itu sebagai satu-satunya tempat yang selamat.
Mereka kemudian dibantu mendapatkan tiket bas dan selamat tiba di Terminal Larkin pada awal pagi Rabu sebelum dijemput oleh warden rumah perlindungan tersebut.
Kisah dua beradik ini mengundang sebak apabila satu ayat yang dikongsikan Herman Sudil cukup meruntun hati.
“Dua beradik ini hanya berjalan dengan seluruh hidup mereka di dalam beg. Dan satu harapan kecil dalam hati…‘Kami cuma nak tempat yang selamat’,” tulisnya.
Perkongsian ini terus mendapat perhatian warga maya yang rata-rata berharap agar nasib dua beradik tersebut akan terus terbela dan tidak lagi melalui penderitaan yang sama pada masa akan datang.
Sumber: Facebook Herman Sudil (1), (2)
FT Image: Herman Sudil
