Tragedi bayi lemas yang berlaku di sebuah rumah di Seremban mengorbankan seorang bayi perempuan berusia 11 bulan selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam baldi berisi air.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman memaklumkan, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.22 malam.
BAYI LEMAS DALAM BALDI ADA AIR SABUN

Sekadar gambar hiasan (Kredit: Magnific)
Menurut beliau, siasatan awal mendapati bayi berkenaan berada di bawah jagaan neneknya sejak jam 9 pagi kerana kedua-dua ibu bapanya keluar bekerja.
“Difahamkan, mangsa diletakkan tidur di dalam buaian sementara neneknya melakukan kerja rumah termasuk memasak dan menjemur pakaian.
“Sekitar jam 2.30 petang, nenek mangsa menyedari bayi itu sudah tiada di dalam buaian sebelum usaha mencarinya membawa kepada penemuan mangsa di dalam baldi mengandungi sedikit air sabun di bahagian belakang rumah dalam keadaan kepala menghala ke bawah,” jelasnya.
Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut. Namun begitu, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira jam 4.30 petang.

Mohd Yatim berkata, proses bedah siasat telah dijalankan awal pagi tadi, namun punca sebenar kematian masih menunggu keputusan ujian makmal.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan seorang wanita berusia 54 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R. Sinniah di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro
