Segelintir ibu bapa berdepan cabaran besar apabila anak terlalu memilih makanan. Akhirnya, demi memastikan anak ‘makan juga’ dengan memilih jalan mudah dengan menyediakan makanan segera dan kurang berkhasiat.
Namun persoalannya, sampai bila kita mahu membiarkan anak-anak bergantung pada makanan tidak sihat sekadar untuk mengisi perut? Jangan sampai kesihatan anak terjejas macam dalam kisah ini…
Baca juga: Murid Darjah 2 BUTA Kedua-Dua Belah Mata Akibat Kerap Makan Sosej & Nuget, Kurang Vitamin A
BEKALKAN MAKANAN SEGERA MACAM SOSEJ & NUGGET DEKAT PENGASUH, ANAK KENA DIABETES!

Foto: freepik
Seorang wanita berkongsi di laman Threads mengenai kisah yang cukup membuka mata orang ramai. Menurut perbualannya bersama pengasuh anak, pengasuh tersebut menceritakan tentang anak asuhannya berusia 3 tahun disahkan menghidap diabetes serta beberapa masalah kesihatan lain gara-gara terlalu kerap diberi makanan sejuk beku seperti nuget dan sosej.
Lebih mengejutkan, ibu bapanya sendiri yang membekalkan stok makanan tersebut kepada pengasuh setiap dua minggu sekali.
“Bayangkan budak tu tak pernahnya nak makan nasi…Budaknya memang ceria dan comel, badannya pun montel,” tulis wanita itu.
Namun siapa sangka, di sebalik tubuh kelihatan sihat, anak kecil itu sebenarnya menderita kerana pola pemakanan yang tidak seimbang.
Lebih membimbangkan, makanan ruji seperti nasi yang langsung tidak disentuh itu digantikan pula dengan makanan ringan manis yang kosong khasiat. Situasi itu membuatkan pengasuh anak tersebut cukup runsing dengan keadaan kesihatannya.
Akhirnya, setelah disahkan menghidap diabetes, kanak-kanak berusia 3 tahun itu kini perlu menjalani pemeriksaan berkala di pusat rawatan. Kasihannya!

Foto: freepik
Kisah ini seharusnya menjadi peringatan buat ibu bapa agar lebih peka terhadap pemakanan anak-anak. Pilihan mudah hari ini mungkin membawa kesan jangka panjang yang tidak mampu kita tanggung esok hari.
Sumber: Threads
