Kes Zara Qairina terus mendapat perhatian ramai apabila pihak polis mengesahkan bahawa seramai 60 individu, termasuk ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ telah dirakam keterangan dalam siasatan berhubung kematian tragis pelajar Tingkatan Satu itu di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah.
KES ZARA QAIRINA: 60 INDIVIDU DIPANGGIL POLIS

Sinar Harian: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kes Zara Qairina kini telah berada di peringkat akhir yang mana kira-kira 60 saksi telah dirakam percakapan dan beberapa keterangan lain juga turut diambil.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata siasatan kes kini berada di peringkat akhir, dan pihak polis telah merujuk kertas siasatan tersebut ke Bukit Aman untuk penelitian akhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
“Buat masa sekarang kertas siasatan telah kita bawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
“60 saksi ini melibatkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Itu juga telah diambil kenyataan (tiga nama didakwa di media sosial), setakat ini (nama didakwa) memang ada, sebagai pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.
Sebelum ini, siasatan terhadap kes Zara Qairina mendapat perhatian luas di media sosial selepas nama-nama seperti ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ didakwa terlibat secara langsung.
Mengulas lebih lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut.
“Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.
“Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan ini (dakwaan buli) berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan,” ujarnya.
Mengulas dakwaan yang mengaitkan kononnya anak orang kenamaan termasuk anak beliau sendiri terlibat, Jauteh dengan tegas menafikan perkara itu.
“Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak-anak VIP (orang kenamaan) yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri, saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.
“Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan (jika ada anak wakil rakyat) sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu, kita tidak membuat siasatan berkaitan ini anak siapa, ini anak siapa, tapi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai anak yang pernah dan sedang bersekolah di sana, tidak ada anak saya di sana.
“Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan sebab siasatan kes tersebut mengambil masa yang agak panjang.
“Netizen mahukan satu ketelusan siasatan, satu siasatan yang menyeluruh, itu sebab kita mengambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan melibatkan 60 saksi dan semua saksi ini pun kita tidak dapat secara terus.
“Kita kena memikirkan bahawa saksi-saksi ini merupakan pelajar di sekolah itu yang hanya mungkin melihat atau mendengar atau berkawan dengan mangsa.
“Jadi kalau kita buat siasatan secara tidak profesional, sudah tentu ini akan menambahkan trauma mereka terhadap keadaan yang ada ketika ini. Itu sebab kita buat secara adil dan profesional kepada semua pihak sebab kita bukan melihat kepada satu arah.
“Kita juga melihat kepada semua pelajar yang kita ambil sebagai saksi atau keterangannya, emosi mereka ini juga perlu kita ambil perhatian,” katanya.
Baca juga: Gadis 14 Tahun Hilang 4 Hari, Ditemui Bersama ‘Teman Lelaki’ Usia 47 Kenal Dalam Online Game!
Tambah beliau, kejadian yang berlaku pada 16 Julai, diikuti dengan kematian mangsa pada 17 Julai, telah mencetuskan siasatan segera yang turut disertai pasukan khas daripada IPK Sabah dan dibantu pakar kaunseling.
“Saya telah membuat perbincangan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, berkaitan dengan kes ini dan pada 18 Julai, beliau telah menghantar satu pasukan khas daripada pihak IPK untuk membantu siasatan ke atas kes ini sehinggalah mengambil beberapa hari untuk menyiapkan kertas siasatan.
“Sebab kita sendiri sedia maklum pelajar-pelajar ini dalam keadaan yang trauma. Jadi pihak siasatan ini juga dibantu oleh pakar-pakar kaunseling untuk membolehkan mereka dapat menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku.
“Seperti yang saya nyatakan tadi bahawa kertas siasatan ini telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian dan juga kajian menyeluruh.
“Jadi pada ketika ini kita serahkan kepada pihak Bukit Aman untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan dengan siasatan kes ini sebagai pihak yang lebih tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga yang mempunyai kemahiran-kemahiran berbanding dengan apa yang ada di Sabah ini,” ujarnya.
Baca juga: Dah 81 Hari Remaja Hilang, Ibu Yakin “Adik Nak Balik Tapi Ada Orang Tahan!” Pulanglah Anak
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
