Empat pelajar tingkatan lima yang disyaki terlibat dalam kes rogol pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, akan tetap dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 3 November ini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat bagi memastikan hak pendidikan pelajar berkenaan tidak dinafikan meskipun mereka kini dalam siasatan pihak polis. Namun, netizen tertanya adakah menjawab SPM di dalam lokap?
Baca juga: Permohonan Pengawas Peperiksaan SPM 2025 Kini Dibuka, Bukan Cikgu Pun Boleh Mohon & Dapat Elaun!
KES ROGOL PELAJAR TINGKATAN 3, PELAKU MASIH DIBENARKAN AMBIL SPM- MENTERI PENDIDIKAN

Foto Malaysia Gazette: Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan.
“Tindakan undang-undang terhadap mereka diserahkan sepenuhnya kepada polis. Kementerian pula memberi tumpuan kepada aspek disiplin, ekosistem sekolah serta sokongan emosi dan psikososial kepada semua pihak yang terbabit,” kata Fadhlina Sidek.
Dalam masa yang sama, Fadhlina mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dan beretika dalam membincangkan isu melibatkan pelajar bawah umur.
“Kes ini membabitkan individu bawah umur yang dilindungi undang-undang dari segi maklumat peribadi. Maka ibu bapa dan masyarakat perlu lebih cakna serta tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat atau membuat andaian,” tegasnya.
Menteri Pendidikan itu turut memaklumkan bahawa mangsa kini dirawat di hospital dan sedang menerima bantuan psikososial daripada pasukan perubatan serta kaunselor profesional. Selain itu, pihak KPM akan memastikan semua calon SPM dan guru di sekolah berkenaan turut diberi sokongan emosi supaya persiapan mereka tidak terganggu akibat tragedi tersebut.
“Kumpulan kaunselor akan memberikan sokongan penuh kepada seluruh warga sekolah, termasuk calon SPM. Sekolah ini antara yang mencatat prestasi terbaik di Melaka, jadi tumpuan penuh akan diberikan kepada mereka agar tidak terjejas menjelang peperiksaan,” tambahnya.
Kronologi Tragedi 2 Oktober: Dari Bilik Darjah ke Balai Polis

Kejadian menyayat hati itu berlaku pada 2 Oktober lalu sekitar jam 2.50 petang di sebuah kelas di sekolah menengah berkenaan. Insiden tersebut dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek. Berikut adalah kronologi kejadian yang dilaporkan:
1. Penyebaran video aib: Kejadian terbongkar selepas rakaman tidak bermoral itu tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru dan akhirnya diketahui oleh ibu mangsa.
2. Mangsa berpatah balik ke kelas: Sebelum kejadian, pelajar perempuan berusia 15 tahun itu dikatakan kembali ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
3. Dihendap dan diserang: Dua pelajar lelaki senior berusia 17 tahun dipercayai menghendapnya dari celah pintu sebelum salah seorang menarik tangan mangsa, menutup mulutnya dan menolaknya masuk ke dalam kelas.
4. Tindakan suspek: Seorang lagi suspek mengawal kawasan tangga manakala dua lagi rakan mereka berada di dalam kelas menyaksikan perbuatan keji itu.
5. Kejadian dirakam: Suspek pertama bertindak membogelkan dan merogol mangsa, diikuti suspek kedua, manakala seorang lagi merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.
6. Mangsa trauma: Akibat trauma, mangsa enggan ke sekolah selepas kejadian sehingga ibunya dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai penyebaran video berkenaan.
7. Laporan polis: Selepas melihat video tersebut, ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.
8. Siasatan dan reman: Kesemua suspek kemudiannya direman selama enam hari sehingga 16 Oktober bagi membantu siasatan lanjut.
*Tragedi ini bukan sekadar mencetuskan kemarahan masyarakat, tetapi juga membuka ruang untuk kita menilai semula tahap keselamatan pelajar di sekolah serta keperluan pendidikan moral dan nilai empati dalam kalangan remaja.
Kementerian Pendidikan kini berdepan cabaran besar bukan hanya memastikan keadilan ditegakkan, tetapi juga memulihkan semula keyakinan seluruh warga sekolah yang terjejas akibat kejadian tragis ini.
Baca juga: “Bahagi, Darab Pun Tak Reti..”- Salah Besar Mansuhkan UPSR & PT3, Guru Dedah Pendidikan Makin Lemah!
Sumber: Sinar Harian, BERNAMA, Berita Harian
