Euforia Bola 2026
Famili

“Suka Ke Tak, Jangan Tarik Laporan Polis!”– Fadhlina Sidek Beri Amaran Tegas Untuk Ibu Bapa Jika Anak Hamil Bawah Umur

hamil bawah umur

Ramai ibu bapa berdepan perasaan malu, marah dan kecewa apabila mengetahui anak mereka hamil bawah umur. Namun menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, perkara paling penting dalam situasi sebegini adalah memastikan keselamatan serta kebajikan anak dan bayi yang bakal dilahirkan.

Baca juga: Jumlah Pasangan Malaysia Bernikah Di Selatan Thailand Meningkat 2 Kali Ganda Musim Cuti Panjang!

ANAK HAMIL BAWAH UMUR, INI YANG PERLU DILAKUKAN

hamil bawah umur

Foto: Gemini AI

Menerusi satu hantaran di Facebook, Fadhlina berkongsi beberapa langkah yang perlu diambil oleh keluarga sekiranya berdepan kes kehamilan luar nikah melibatkan remaja bawah umur.

Menurut Fadhlina, antara perkara yang sering ditekankannya ialah keperluan membuat laporan polis sekiranya anak bawah umur didapati hamil.

Katanya, walaupun hubungan tersebut berlaku atas dasar suka sama suka, laporan polis tetap perlu dibuat dan tidak sepatutnya ditarik balik.

Jika anak bawah umur, tidak kiralah suka sama suka atau tidak, laporan polis mesti dibuat. Jangan tarik balik. PDRM mempunyai bahagian D11 yang akan fokus kepada kes-kes sebegini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan tersebut penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan serta melindungi hak dan keselamatan kanak-kanak yang terlibat.

Utamakan Kesihatan Dengan Segera Membuka Buku ‘Pink’

hamil bawah umur

Foto: Gemini AI

Fadhlina turut menegaskan bahawa perkara pertama yang perlu dilakukan selepas mengetahui seseorang remaja hamil adalah membawa mereka ke pusat kesihatan atau klinik desa berhampiran untuk membuka buku rekod kehamilan atau buku ‘pink’.

Menurutnya, fokus utama perlu diberikan kepada kandungan dan kesihatan ibu muda berkenaan kerana risiko komplikasi kehamilan adalah lebih tinggi bagi mereka yang masih di usia remaja.

Beliau berkata sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan mempunyai kepakaran dan kemudahan yang mencukupi untuk membantu golongan tersebut sepanjang tempoh kehamilan.

Kerajaan Sedia Bantuan Perlindungan Untuk Remaja Hamil Bawah Umur

Mengenai kebimbangan ibu bapa yang tidak tahu bagaimana mahu menjaga anak mereka ketika hamil, Fadhlina berkata kerajaan turut menyediakan bantuan perlindungan menerusi institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau yang pernah mengendalikan rumah perlindungan gadis hamil luar nikah, Bayt Al-Rahmah, berkata remaja yang memerlukan perlindungan boleh ditempatkan di rumah perlindungan yang selamat sehingga tiba waktu melahirkan.

Kerajaan juga menyediakan sokongan perlindungan yang sama. Boleh rujuk JKM untuk mendapatkan perlindungan di bawah institusi kerajaan,” jelasnya.

Kaunseling Penting Untuk Bantu Tindakan Susulan

Selain perlindungan dan penjagaan kesihatan, Fadhlina turut menekankan kepentingan mendapatkan khidmat kaunseling secepat mungkin.

Menurut beliau, sesi kaunseling membolehkan remaja terbabit berkongsi situasi sebenar yang dihadapi dalam suasana yang selamat dan dipercayai, sekali gus membantu pihak berkaitan mengambil tindakan susulan yang sesuai.

Katanya, ramai remaja memerlukan masa sebelum bersedia menceritakan perkara sebenar yang berlaku kepada mereka.

Tempoh Selepas Bersalin Juga Perlu Diberi Perhatian

Fadhlina turut mengingatkan bahawa penjagaan tidak seharusnya terhenti selepas proses kelahiran.

Beliau menjelaskan tempoh selepas bersalin atau post partum merupakan fasa yang sangat kritikal kerana ibu muda berisiko mengalami tekanan emosi, kemurungan atau masalah kesihatan mental sekiranya tidak mendapat sokongan yang mencukupi.

Justeru, bantuan daripada keluarga, penjaga dan sistem sokongan amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan ibu dan bayi sentiasa terpelihara.

Dalam masa sama, Fadhlina menegaskan bahawa remaja yang terlibat tidak seharusnya tercicir daripada sistem pendidikan.

Menurutnya, pendidikan merupakan kunci penting untuk membantu mereka membina masa depan yang lebih baik serta keluar daripada kitaran masalah sosial dan keganasan.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membantu pelajar yang terlibat untuk kembali ke sekolah dan memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran termasuk menduduki peperiksaan SPM.

Utamakan Sokongan Dan Pencegahan Demi Selamatkan Nyawa

hamil bawah umur

Foto: Gemini AI

Mengakhiri perkongsiannya, Fadhlina menyeru masyarakat agar tidak menghukum atau meminggirkan remaja yang berdepan kehamilan luar nikah.

Sebaliknya, beliau menggesa semua pihak mengutamakan pendekatan pencegahan dan sokongan supaya lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

Kita sentiasa memikirkan keutamaan menyelamatkan nyawa ibu dan anak. Nyawa ibu dan anak jauh lebih penting daripada semua kutukan itu.

“Di luar sana, ramai anak gadis yang sedang takut dan bimbang tentang kehamilan luar nikah mereka. Apa yang lebih penting adalah kita mengambil sikap mencegah dan mendukung ketika mencari solusi kepada masalah sosial ini,” katanya.

Baca juga: Perjalanan Ke Sekolah Berakhir Tragedi, Kanak-Kanak 8 Tahun Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

FT Images: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×