Euforia Bola 2026
Famili

Kes Jahidah Nordin: Mahkamah Tolak Rayuan, Kekalkan Hukuman 10 Tahun Penjara Buat Bekas Suami

kes jahidah nordin

Kisah tragis kes Jahidah Nordin yang pernah menggemparkan negara empat tahun lalu akhirnya menemui sinar keadilan. Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini Abd Raof, 42 tahun, bekas suami kepada Jahidah Nordin, 47 tahun.

Wanita itu yang masih koma dan hanya terlantar hingga kini selepas dipukul suaminya sendiri ketika sedang hamil. Begitu kejam!

Baca juga: Dibelasah Suami Semasa Hamil Hingga Koma, Keadaan TERKINI Puan Jahidah Undang Sebak..Hanya Terlantar Atas Katil

KES JAHIDAH NORDIN: Rayuan Bekas Suami Ditolak, Hukuman Kekal Penjara 10 Tahun

kes jahidah nordin

Dalam keputusan yang dibacakan oleh Hakim Atan Mustaffa Yusoff Ahmad, mahkamah menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 9 Disember tahun lalu.

Menurut laporan Kosmo, hakim menegaskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes tanpa sebarang keraguan munasabah melalui keterangan saksi serta laporan perubatan dan forensik yang menunjukkan kecederaan serius pada mangsa berpunca daripada perbuatan tertuduh.

“Keterangan forensik dan laporan perubatan cukup kuat untuk menyokong sabitan. Mahkamah tidak mempunyai alasan untuk mengubah keputusan terdahulu,” ujar hakim semasa membacakan keputusan.

Namun begitu, mahkamah membenarkan permohonan Rosmaini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya. Beliau dibenarkan ikat jamin bercagar sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta diwajibkan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Tragedi Hitam 2021 Yang Masih Dikenang

kes jahidah nordin

Kejadian menyayat hati itu berlaku pada 4 Mei 2021 di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor Bahru. Ketika itu, Jahidah yang sedang mengandung beberapa bulan dipercayai dibelasah teruk oleh suaminya hingga mengalami kecederaan serius pada kepala, muka, rahang dan tulang belakang.

Akibat serangan itu, Jahidah tidak lagi sedarkan diri hingga kini. Lebih menyedihkan, ketika masih dalam keadaan koma, beliau melahirkan seorang bayi lelaki, Eshan Nufail, pada 30 November 2021 melalui pembedahan.

Anak kecil itu kemudian disahkan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai akibat komplikasi daripada insiden yang menimpa ibunya.

Kisah Jahidah pernah tular dan mendapat simpati rakyat seluruh Malaysia. Ramai yang mendoakan agar beliau pulih dan dapat melihat anaknya membesar suatu hari nanti. Dengan keputusan mahkamah ini, ramai melihatnya sebagai keadilan buat seorang ibu yang menderita tanpa suara, sekaligus memberi mesej tegas terhadap keganasan rumah tangga yang masih menjadi isu dalam masyarakat hari ini.

Baca juga: Ramai Sebak Tengok Video Anak Mandikan Ibu Uzur Dengan Cara Paling Lembut, “Macam Mandikan Jenazah Tapi Masih Bernyawa”

Sumber: Kosmo

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×