Euforia Bola 2026
Asuh

“Kesan Lebam Jelas, Tapi Kes Tunggu 8 Bulan Ditutup?”- Ibu Bongkar Kisah Duka Anak Jadi Mangsa Dera Di Pusat Jagaan

pusat jagaan kanak kanak

Seorang ibu tampil mendedahkan kisah pilu anaknya yang dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal di sebuah pusat jagaan kanak kanak. Sangat merisaukan kerana setelah hampir lapan bulan menunggu siasatan, pihak berkuasa akhirnya tutup kes tanpa sebarang tindakan.

Kisah ini dikongsikan secara terbuka demi mencari keadilan buat anaknya, Syakir Ali, dan demi memberi kesedaran kepada ibu bapa lain.

Baca juga: Bapa Terkejut Tengok CCTV Anak Dikasari, Kena ‘Heret Macam Lembu’ Oleh Pembantu Rumah!

ANAK DIPERCAYAI DIDERA DI PUSAT JAGAAN KANAK KANAK, LEBAM MUNGKIN DIPUKUL!

pusat jagaan kanak kanak

Foto: Dikongsikan belakang badan anak yang lebam.

Semuanya bermula dengan lebam yang meragukan. Pada 17 Januari 2025, ibu bapa Syakir Ali menyedari kesan lebam panjang dan kemerahan di belakang badan anak mereka ketika memandikannya selepas pulang dari pusat jagaan. Rasa curiga terus timbul, dan mereka segera mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta keesokan harinya.

Namun, apa yang diterima hanyalah saranan ubat gatal, dengan alasan doktor tidak berani membuat tuduhan terhadap institusi penjagaan kanak-kanak itu. Tidak berpuas hati, pasangan ini mengambil inisiatif mendapatkan pendapat kedua.

Pada 19 Januari 2025, mereka membawa anak ke Hospital Sultanah Aminah. Di sinilah segalanya berubah apabila doktor mengesahkan bahawa kecederaan bukan disebabkan alahan atau gigitan serangga, tetapi berkemungkinan kesan dipukul atau jatuh atas objek panjang.

Demi keselamatan dan prosedur lanjut, laporan polis terus dibuat di Balai Polis Sentral Johor bagi membolehkan pemeriksaan lanjut kes penderaan kanak-kanak dilakukan. Kes kemudiannya dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri, lokasi kediaman keluarga tersebut.

Laporan Perubatan Sah Kes Dera – Tapi Siasatan Lemah?

pusat jagaan kanak kanak

Foto hiasan.

Pada 25 Februari 2025, laporan perubatan lengkap mengesahkan bahawa kes Syakir Ali (nama anak) adalah kes penderaan. Laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut dibuat bagi melibatkan siasatan menyeluruh terhadap pusat jagaan.

Namun begitu, selepas dua bulan berlalu tanpa sebarang perkembangan, ibu mangsa sekali lagi tampil ke balai polis untuk memastikan kes terus dijalankan. Malangnya, sepanjang Mac hingga Julai 2025, hanya sedikit maklum balas diterima, dan selebihnya terpaksa ditanya sendiri melalui WhatsApp oleh ibu mangsa kepada pegawai penyiasat.

Pada 5 Ogos 2025, si ibu akhirnya menerima surat keputusan selepas pelbagai kelewatan, janji tidak ditepati dan usaha bertanya tanpa jawapan. Kes  akhirnya ditutup kerana dikatakan tiada saksi, tiada bukti CCTV (kerana dikatakan rosak akibat ribut petir), tiada tindakan akan diambil.

Pusat jagaan terbabit tidak dikenakan sebarang tindakan, biarpun laporan perubatan sahkan wujud unsur penderaan. Ketiadaan CCTV dijadikan alasan kukuh untuk menutup kes, walaupun ibu bapa telah melalui prosedur yang sah sejak hari pertama kejadian.

Kekecewaan ibu ini bukan sahaja terhadap pusat jagaan, tetapi juga terhadap sistem penguatkuasaan dan perlindungan kanak-kanak yang sepatutnya lebih efisien dan berpihak kepada mangsa. Soalan-soalan yang masih belum terjawab terus bermain di fikiran:

“Siapa yang bertanggungjawab mencederakan Syakir Ali?”

“Kenapa tiada mekanisme alternatif bila CCTV dikatakan rosak?”

“Apa jaminan keselamatan buat anak-anak lain yang masih berada di pusat jagaan itu?”

Kisah ini bukan sekadar luahan kekecewaan, tetapi juga satu seruan kepada ibu bapa lain agar lebih berwaspada dan jangan hanya bergantung kepada reputasi pusat jagaan semata-mata. Ibu Syakir sendiri telah menyemak rekod rasmi, ulasan dan melakukan lawatan tapak sebelum mendaftarkan anaknya namun tragedi tetap berlaku.

Ibu ini turut sampaikan kepada pihak berkuasa, masyarakat berharap ada reformasi dalam cara kes penderaan kanak-kanak disiasat. CCTV rosak tidak sepatutnya dijadikan penamat siasatan, dan bukti perubatan serta trauma mangsa harus diambil sebagai indikator utama.

“Mohon doa semua, semoga ada keadilan buat Syakir Ali kami,” kata ibu.

*Syakir Ali mungkin tidak mampu berkata-kata, tetapi lebam di tubuh kecilnya sudah menceritakan segalanya. Semoga keadilan yang gagal ditegakkan di dunia ini, akan terbela di sisi Tuhan yang Maha Adil.

Baca juga: Ini Contoh Taska/Pengasuh Yang Bagus, Mak Ayah Kena Alert!

Sumber: Syaza Syamimi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×