Tular di laman media sosial apabila seorang ibu meluahkan rasa kecewa apabila anak perempuannya yang berusia 22 bulan diserang sawan selepas didakwa menunggu hampir 11 jam untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka, meskipun berada dalam keadaan demam panas dan kritikal.
Kejadian tersebut mencetuskan perhatian ramai selepas perkongsian ibu mangsa tular di media sosial, mencetuskan persoalan mengenai tahap kecekapan perkhidmatan kesihatan di hospital kerajaan.
IBU DAKWA HOSPITAL MELAKA LAMBAT BAGI RAWATAN, BAYI 22 BULAN DEMAM PANAS HINGGA SAWAN

Menerusi hantaran di laman Facebook, Siti Aishah Rahim memaklumkan bahawa dia membawa anak sulungnya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus, ke hospital tersebut kerana mengalami demam yang tinggi.
Namun begitu, kanak-kanak itu dikatakan menangis berpanjangan kerana menanggung kesakitan dan terpaksa menunggu hampir 11 jam sebelum menerima rawatan, menyebabkan kejadian tersebut menjadi tular pada malam Ahad.
Lebih mengeruhkan keadaan, ibu berusia 27 tahun itu mendakwa telah memohon agar anaknya diberi rawatan segera selepas suhu badan anaknya meningkat sehingga 40 darjah Celsius, namun kakitangan perubatan hanya meminta beliau bersabar.
“Walaupun berulang kali bertanya kepada petugas mengenai rawatan, saya hanya diminta menunggu sehingga anak kejang akibat sawan kira-kira pukul 1 pagi keesokan harinya. Ketika (sawan) itu barulah anak saya dipindahkan ke Zon Kuning. Saya berasa sangat terkilan apabila lihat anak bertarung nyawa baru (pihak hospital) nak bertindak,” katanya kesal.
Selepas diperiksa, anak kecil itu disahkan dijangkiti virus yang menjejaskan saluran pernafasan, pencernaan serta turut melibatkan mata dan paru-paru.
Siti Aishah mendakwa layanan yang diterima seolah-olah sambil lewa dan tidak menunjukkan keprihatinan terhadap situasi genting yang dialami anaknya.
PIHAK HOSPITAL MOHON MAAF: “SAYA TERIMA” – IBU
‘Saya Maafkan Hospital Melaka, Tapi Tolonglah Perbaiki Keadaan’ – Ibu Bayi
“Pengurusan Hospital Melaka sudah memohon maaf dan kami pun terima cuma tolonglah ubah apa yang patut supaya insiden ini tidak berulang lagi pada orang lain,”.
Itu harapan Siti Aishah Rahim, 27, dan… pic.twitter.com/1R8Fi99jI3
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) May 12, 2025
Walau bagaimanapun setelah menerima pelbagai komen negatif dari warga maya, pihak hospital telah tampil memohon maaf dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan terhadap insiden tersebut.
“Mereka datang ke katil anak saya dan memohon maaf. Kes ini hanya diberi perhatian selepas mendapat perhatian ramai di media sosial,” katanya. Tambahnya, anaknya kini masih dalam pemantauan pihak hospital kerana keadaannya belum stabil sepenuhnya.
Ibu kepada bayi perempuan tersebut menerima permohonan maaf yang dibuat oleh pengurusan Hospital Melaka selepas insiden kelewatan rawatan yang didakwa berlaku hampir 11 jam itu.
“Pagi tadi, pihak hospital berjumpa dengan kami di wad dan memohon maaf serta berjanji akan menyiasat dan memperbaiki kesilapan yang berlaku.
“Kami terima permohonan maaf itu dengan hati terbuka, namun kejadian ini benar-benar menyedihkan. Selama ini hanya membaca kisah begini di media sosial, tak sangka kali ini terjadi pada anak saya sendiri,” katanya ketika ditemui media di Hospital Melaka.
“Sebagai seorang ibu, saya benar-benar trauma. Sejak lahir, anak saya tidak pernah mengalami sakit seteruk ini. Melihat dia merengek kesakitan benar-benar meruntun hati saya.
“Saya berharap pihak hospital mengambil pengajaran daripada kejadian ini, bukan sekadar memberi janji kosong. Jangan tunggu sesuatu menjadi tular baru mahu bertindak. Tolong perbaiki kualiti perkhidmatan,” katanya tegas.
*Semoga bayi tersebut kembali sihat seperti sedia kala dan kejadian sebegini tidak berlaku kepada pesakit lain pula. Jangan tunggu ‘viral’ dulu baru nak tingkatkan kualiti dalam servis terutamanya perkhidmatan kesihatan.
Baca juga: “Nak Kebumi Di Mana?” – Dua Beradik Bergaduh Di Wad Ketika Ayah Nazak, Kena ‘Heret’ Ke Mahkamah!
Sumber: Kosmo, Aishah Adelia, Malaysia Gazette
