Bila bercakap tentang haid, hormon atau kesihatan reproduktif, ramai sebenarnya masih rasa segan atau janggal untuk berbincang secara terbuka. Disebabkan itulah kempen ‘Just Flow With It’ dilancarkan bagi membuka lebih banyak ruang perbualan tentang kesihatan wanita di Malaysia.
KEMPEN ‘JUST FLOW WITH IT’ PECAHKAN TABU KESIHATAN WANITA DI MALAYSIA

Dilancarkan oleh SAYS, kempen pelbagai platform ini bertujuan menjadikan topik kesihatan wanita lebih mudah difahami, kurang tabu dan tidak lagi dianggap sesuatu yang memalukan untuk dibincangkan.
Menurut SAYS, masih ramai berdepan salah faham tentang perkara berkaitan haid, perubahan hormon serta kesihatan reproduktif kerana kurang pendedahan atau maklumat yang betul.
Nak jadikan topik kesihatan wanita lebih mudah difahami
Menerusi kempen ‘Just Flow With It’, pelbagai kandungan disediakan dalam bentuk lebih santai dan mudah difahami supaya orang ramai, terutama wanita, boleh belajar tentang tubuh badan mereka tanpa rasa takut atau malu.
Antara topik disentuh termasuk isu haid, hormon, perubahan badan dan pelbagai pengalaman sebenar yang sering dilalui wanita dalam kehidupan harian.
Ketua Rangkaian Inggeris REV Media Group, Laila Zain berkata, haid tidak sepatutnya dianggap sebagai sesuatu yang memalukan kerana ia adalah proses semula jadi.
“Haid telah lama dianggap sebagai sesuatu yang kotor atau memalukan, sedangkan hakikatnya, ia adalah sesuatu yang benar-benar semula jadi dan normal.
“Apabila kita mengelak daripada membincangkannya atau mempelajarinya, ia boleh membawa kepada maklumat yang salah dan juga risiko kesihatan,” katanya.
Tambah Laila Zain, perbincangan mengenai kesihatan wanita bukan hanya untuk wanita semata-mata tetapi sesuatu yang perlu difahami semua orang.
“Ini bukan sekadar isu wanita. Ini adalah sesuatu yang harus difahami oleh semua orang, kerana ia merupakan sebahagian asas kehidupan bagi separuh daripada populasi.
“Matlamat ‘Just Flow With It’ adalah untuk menjadikan perbualan ini terasa kurang menakutkan dan akhirnya, bukan lagi sesuatu yang janggal,” tambahnya.
Baca juga: Aplikasi Waktu Solat Malaysia Perkenal Pelan Tanpa Iklan, Lebih Lancar Untuk Pengguna Tanpa Gangguan

Wanita juga boleh kongsi pengalaman secara anonim
Menariknya, kempen ini bukan sekadar berkongsi info semata-mata tetapi turut membuka ruang kepada wanita untuk berkongsi pengalaman mereka sendiri secara anonim atau tanpa mendedahkan identiti.
Melalui ciri khas yang disediakan, individu boleh berkongsi kisah peribadi berkaitan kesihatan wanita atau pengalaman harian mereka.
Perkongsian terpilih kemudian akan dipaparkan di platform tersebut sebagai usaha membina komuniti yang lebih terbuka dan saling memahami.
Selain artikel pendidikan, kempen ini turut hadir dengan video pendek, kandungan media sosial dan format interaktif supaya lebih dekat dengan audiens masa kini.
Bukan sekadar online, ada aktiviti komuniti percuma
Bukan itu sahaja, ‘Just Flow With It’ juga akan diperluaskan melalui aktiviti komuniti secara fizikal termasuk kelas kecergasan dan kesejahteraan awam secara percuma.
Langkah ini diharap dapat membantu masyarakat lebih terbuka membincangkan kesihatan wanita tanpa stigma selain meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan diri.
Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kempen ini, layari: https://says.com/justflowwithit atau di semua platform media sosial SAYS di @saysdotcom .
Baca juga: Peguam Bela Klien Hantu? Strim ‘Phantom Lawyer’ Di Tonton Sekarang, Tayangan Serentak Dengan Korea!
