Kemalangan bas UPSI yang meragut nyawa 15 orang pelajar turut membabitkan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki sepasang suami isteri dan dua orang anak mereka.
Mohd Lutfi Radzi, 37, Nurul Ain Zakaria, 36, Nur Aisyah Nafishah Mohd Lutfi, 6, serta Muhammad Ahsan Nafis, 2, berada di dalam kenderaan berkenaan.
Baca juga: Senarai 15 Pelajar UPSI Yang Maut Dalam Kemalangan Bas, Kejadian Paling Sebak & Pilu!
KEMALANGAN BAS UPSI: PEMANDU KERETA ALZA DAH KELUAR WAD

Difahamkan, Mohd Lutfi Radzi, bersama anak bongsu mereka, Muhammad Ahsan Nafis telah dibenarkan pulang petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Baling.
Si isteri dan anak perempuan mereka berusia enam tahun yang terlibat dalam kemalangan bas UPSI itu masih dirawat di hospital.
Keadaan kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke bahagian ortopedik untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Norlian Abd Halim, 58 yang merupakan ibu kepada Mohd Lutfi, tidak menyangka kepulangan anak kedua daripada lima beradik dari Terengganu bersama isteri dan dua anaknya mengundang tragedi.
Kereta yang dinaiki anaknya itu ternyata terbabit dalam kemalangan dengan bas di Jalan Raya Timur -Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi semalam.
Jelasnya, dia bersyukur tiada apa yang serius berlaku terhadap mereka namun dia bersedih mendengar berita mengenai kematian 15 orang pelajar UPSI itu.
Baca juga: Kemalangan Bas Pelajar UPSI, Pemandu Langgar Belakang Alza & Mangsa Kata Bawa Laju..
Sumber: Harian Metro
