Euforia Bola 2026
Famili

Waris Dedah Kronologi Penuh Pemergian Tragik Arwah Zara Qairina & Tuntut Siasatan Telus

arwah zara

Kisah tragik melibatkan arwah Zara Qairina, seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dari sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh, terus mengundang persoalan besar dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam hantaran Facebook oleh waris keluarga, Syira Leizel, satu kronologi panjang dikongsikan demi mencari keadilan. Bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk memastikan kematian Zara tidak disenyapkan begitu sahaja.

Baca juga:  Kereta Tenggelam Depan Mata, Pelajar UNIMAS Nekad Terjun Selamatkan Remaja Autistik!

KELUARGA TUNTUT KEBENARAN PEMERGIAN ARWAH ZARA QAIRINA

arwah zara

Zara Qairina

Siapa sebenarnya arwah Zara Qairina?

Zara Qairina binti Mahathir bukan sekadar seorang pelajar. Dia anak yang taat solat, lembut hati, tidak pernah membalas meskipun dibuli, dan sering memujuk ibunya agar tidak bimbang. Namun, seawal hari-hari pertama di asrama, Zara sudah mula mengalami gangguan:

  • Dipaksa ambil air panas pada jam 2–3 pagi di blok bawah (asrama di tingkat 3)
  • Barang hilang dan sering diminta belanja oleh rakan
  • Dakwaan gangguan seksual oleh pelajar tomboi ketika tidur
  • Tekanan daripada pelajar senior kerana mencatat nama pelajar yang tidak solat

Walau ibunya pernah datang memberi amaran kepada pelajar lain, Zara memilih untuk terus bertahan, memberitahu ibunya, “Zara lawan je mama. Zara inda takut.”

Kronologi malam kejadian

Pada awal pagi 17 Julai 2025, sekitar jam 3 pagi, keluarga menerima panggilan yang menyayat hati. Di mana, Zara koma akibat jatuh dari tingkat tiga.

Lokasi jatuh berdekatan longkang konkrit dan keadaan fizikal Zara amat mencurigakan:

  • Kepala tidak berdarah tetapi lembut dan berair
  • Organ dalaman gagal, kaki terkehel dan tangan patah
  • Tiada calar pada wajah walau jatuh dari ketinggian
  • Posisi badan seolah “diletakkan” bukan akibat hentakan kuat

Lebih meragukan, waktu kejadian berlaku antara 2–3 pagi, waktu yang dikatakan masih ramai pelajar berjaga. Maka timbul persoalan besar, bagaimana tiada seorang pun saksi? tiada jeritan, tiada bunyi, tiada tindakan segera?

Layanan selepas kejadian

Bukan sahaja keluarga dikejutkan dengan pemergian mengejut Zara, mereka turut berdepan layanan yang menambahkan derita.

  • Pengetua memujuk ibu agar tidak buat laporan polis ketika datang menziarah di hospital
  • Warden dan guru enggan beri maklumat jelas
  • Pegawai penyiasat (IO) bersikap sambil lewa
  • Barang Zara telah dikemas tanpa kehadiran ibu
  • Ada pegawai sekolah ‘menasihati’ supaya kes tidak diviralkan

“Apabila kami desak jawapan, Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek yang kebetulan datang melawat ke hospital, beliau sendiri menjawab: “Saya yang arahkan pihak sekolah supaya tidak beri sebarang maklumat kepada waris kerana kes masih dalam siasatan.”

“Ini mengejutkan kami, kerana ia bermaksud maklumat ditahan secara arahan rasmi, bukan oleh polis,” tulisnya lagi.

Keluarga tolak naratif bunuh diri!

Apa yang lebih menyedihkan, sejak awal ada kecenderungan untuk mengarahkan kes ini ke arah naratif bunuh diri.

Namun bagi keluarga, mereka menolak keras naratif tersebut kerana mencemarkan maruah arwah yang diketahui sebagai kuat semangat, berani, taat solat, tidak lemah walau dibuli dan sentiasa menenangkan ibunya.

Mereka yakin, ada sesuatu yang lebih besar sedang disembunyikan:

“Kami tidak menuduh sesiapa. Kami cuma mahu tahu, apa sebenarnya yang berlaku kepada Zara malam itu?”

Soal SOP di asrama

arwah zara

Lokasi Zara didakwa jatuh dari  dari tingkat tiga bangunan asrama.

Apa yang berlaku juga menimbulkan persoalan serius tentang SOP asrama. Zara pernah memberitahu bahawa ramai pelajar berjaga hingga jam 2–3 pagi, turun memasak, ke dobi atau berkumpul.

Ini memberi bayangan bahawa pengawasan di waktu malam amat longgar dan membolehkan kejadian seperti ini berlaku tanpa sesiapa sedar.

Perkara yang ditekankan akan kelemahan SOP di asrama:

  • Tiada pemantauan warden jam 2–3 pagi
  • Pelajar bebas keluar masuk ruang bawah
  • Tiada CCTV di lokasi kritikal
  • Tiada sistem amaran atau kecemasan

Keluarga menegaskan bahawa semua ini bukan sekadar kecuaian, tapi pengabaian tanggungjawab yang membuka ruang kepada tragedi, yang akhirnya ditutup dengan diam.

Jenazah dibawa pulang ke kampung

Jenazah arwah Zara dimandikan dan disolatkan di hospital sebelum dibawa pulang ke kampung halaman untuk pengebumian. Walaupun masih berat hati, ibu akhirnya merelakan pemergian anaknya setelah dipujuk agar Zara dapat berehat dalam tenang.

Wajah Zara bersih, tenang dan tersenyum… namun kesedihan keluarga tidak terpadam.

Ketika pihak sekolah mencadangkan jenazah dibawa ke sekolah untuk penghormatan terakhir, keluarga menolaknya dengan tegas. Bagi mereka, sekolah telah gagal melindungi Zara ketika masih hidup dan tidak layak berpura-pura menghormatinya selepas mati.

“Zara, kami tidak akan berdiam!”

Zara mungkin telah pergi, tetapi soalan tentang pemergiannya masih kekal tergantung. Keluarganya tidak menuntut simpati, tetapi kebenaran.

Mereka tidak menyalahkan individu secara sembrono, tetapi menolak untuk terus dibisukan oleh sistem yang tidak telus.

“Kami redha… Tapi kami tidak akan berdiam. Zara, maruahmu akan kami jaga hingga nafas terakhir kami.”

Baca juga: Nyaris Maut Leher Dililit Tali Layang-Layang, Penunggang Motosikal Kongsi Detik Cemas Di MRR2

Sumber: Syira Leizel Janice Abdullah

FT Image: Syira Leizel Janice Abdullah

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×