Euforia Bola 2026
Nur

Ramai Orang Anggap Meninggal Hari Jumaat Bawa Kebaikan, Tapi Betul Ke? Ini Hukum Sebenar Menurut Mufti

meninggal hari jumaat

Meninggal hari Jumaat sering dianggap istimewa dalam pandangan orang Islam kerana dikhabarkan akan memperoleh kelebihan. Hari ini bukan sahaja hari mulia tetapi juga hari raya bagi umat Islam kerana solat Jumaat diwajibkan secara berjemaah, satu ibadah yang tiada pada hari lain.

Selain itu, terdapat waktu mustajab doa, di mana setiap hamba yang berdoa kepada Allah SWT dengan ikhlas berpeluang untuk dimakbulkan. Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, disebabkan itu, timbul persoalan ada ke terdapat kelebihan pada sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

Baca juga: Hukum Kakak Menyusukan Adik Kandung, Ini Jawapan Lengkap Untuk Elak Orang Ramai Keliru

MENINGGAL HARI JUMAAT, BENAR KE ADA KELEBIHAN?

meninggal hari jumaat

Gambar Mohd Adam Arinin (NSTP): Orang ramai hadir ke pengebumian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas.

Sebelum itu, mari ketahui terlebih dahulu beberapa hadis yang menceritakan akan kelebihan orang yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

1. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat akan dibebaskan daripada fitnah (azab) kubur.” [Musnad Ahmad, no. Hadith 6359]

2. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan dibebaskan oleh Allah SWT daripada fitnah (azab) kubur.” [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 994]

3. Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya:”Barangsiapa yang mati pada malam Jumaat atau hari Jumaat akan dibebaskan daripada azab kubur dan akan datang di hari Kiamat dan padanya tanda sebagai seorang yang syahid.” [Hilyah al-Awliya’, 3:181]

4. Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mati pada hari Jumaat atau malamnya diampunkan (dosa) baginya.” [Mizan al-I’tidal, 4:299]

Hukum hadis

1. Hadis Pertama:

  • Dihukum hasan dengan kesemua jalurnya (sanad) oleh al-Albani dalam Ahkam al-Jana’iz.
  • Syeikh Syu’aib al-Arnout menilai sanad hadis ini dhaif (lemah), dan syawahid yang ada untuk menyokongnya tidak sesuai dijadikan rujukan.
  • Menurut al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi, al-Albani dikatakan tersalah dalam menghukum hadis ini.
  • [Rujukan: Musnad Ahmad, 11:150]

2. Hadis kedua:

  • Imam al-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai Gharib (ganjil) dengan sanad yang tidak bersambung.
  • Al-Hafiz Ibn Hajar menilai sanad hadis ini dhaif.
  • [Rujukan: Fath al-Bari, 3:253]

3. Hadis ketiga:

  • Imam Ibn al-Qayyim menghukum hadis ini dhaif, kerana perawi bernama Umar bin Musa adalah dhaif.
  • Syeikh Syu’aib al-Arnout memetik Abu Hatim bahawa Umar bin Musa lupa dan memalsukan hadis.
  • Al-Daraqutni dan al-Nasa’ie menilai hadis ini Matruk (ditinggalkan).
  • Ibn ‘Adiy menyatakan Umar bin Musa memalsukan matan dan sanad.
  • [Rujukan: al-Ruh, 81; Musnad Ahmad, 11:150]

4.Hadis keempat:

  • Imam al-Zahabi menghukum riwayat ini sebagai mungkar.
  • [Rujukan: Mizan al-I’tidal, 4:299]

Baca juga: Hormat Keluarga Tanpa Campur Aduk Akidah, Adam Corrie Disoal Tak Ikut Ritual Pengebumian Ibunya

Pandangan Mufti

meninggal hari jumaat

Gambar bERNAMA: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama ribuan jemaah hadir menunaikan solat jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Berdasarkan hukum-hukum hadis di atas, bahawa tiada hadis yang sahih dalam menceritakan akan kelebihan orang yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat.

Tambahan pula, barangsiapa yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan bahawa orang tersebut memperoleh husnul khatimah (pengakhiran yang baik).

Walaupun begitu, bagi yang menyatakan mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat mendapat kelebihan tertentu berdasarkan kepada beberapa syarat dan juga berdasarkan kepada mafhum nas-nas yang banyak. Antaranya ialah:

  • Mati dalam keadaan Islam
  • Mati dalam keadaan beriman
  • Tidak mati dalam keadaan melakukan maksiat

Walaubagaimanapun, hari Jumaat adalah sebaik-baik hari sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sebaik-baik hari apabila terbitnya matahari adalah hari Jumaat, padanya diciptakan Adam AS. Pada hari itu juga dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu jugalah dikeluarkan daripadanya (Syurga) dan tidak akan berlaku Kiamat melainkan pada hari Jumaat”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1411]

Selain itu juga, hari Jumaat mempunyai satu masa yang istimewa di mana pada waktu tersebut Allah SWT akan memakbul dan memustajabkan doa hambanya yang berdoa kepada-Nya.

Ini disebut di dalam hadis yang sahih, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika baginda SAW menceritakan akan hari Jumaat:

Maksudnya: “Pada hari Jumaat itu ada satu masa (waktu), tidaklah seorang hamba yang muslim itu menunaikan solat lalu dia berdoa memohon sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang dimohonkan itu”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 883]

Berdasarkan sebahagian hadis yang dinyatakan, jelas menunjukkan bahawa hari Jumaat mempunyai kelebihannya yang tersendiri jika dibandingkan dengan hari-hari yang lain.

Penutup

Kematian itu pasti bagi setiap insan yang bernyawa dan ajal itu akan datang pada bila-bila masa sahaja serta dalam keadaan tidak akan lambat atau cepat walaupun sesaat.

Untuk itu, marilah sama-sama kita tingkatkan amalan kita dan persediaan kita untuk bertemu dengan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan mematikan kita dalam keadaan husnul khatimah. Amin.

Baca juga: Penat Pejam Tapi Mata Masih Segar, Dodoikan Diri Dengan Zikir Ya Hayyu Ya Qayyum Terus Cepat Lelap

Sumber: Portal Mufti Wilayah Persekutuan

FT Image: BERNAMA / Mohd Adam Arinin (NSTP)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×