Insiden kebakaran rumah yang berlaku di Kg Bahagia, Sandakan baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan tempat tinggal, malah meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa terutamanya kanak-kanak kecil.
Dalam sekelip mata, api yang marak telah meranapkan segalanya, menjadikan beberapa keluarga tinggal sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan barangan penting termasuk kelengkapan persekolahan.
Baca juga: Burung, Anjing Setia Mengiringi Lelaki Pembawa Rezeki Setiap Pagi, Undang Perhatian Warganet
KEBAKARAN RUMAH ANAK-ANAK PASTI KG BAHAGIA SANDAKAN

Bagi anak-anak kecil dari PASTI Sa’ad Bin Abi Waqqas dan PASTI Bilal bin Rabbah, api yang marak bukan sekadar memusnahkan bangunan kayu. Ia turut menghanguskan buku sekolah, pakaian, beg, mainan, dan segala rutin kecil yang selama ini menjadi sebahagian daripada dunia mereka.
Antara yang terkesan ialah beberapa kanak-kanak seperti Ezar, Nayla, Alisya dan Qaireen yang kini hanya tinggal pakaian di badan. Segala kelengkapan persekolahan mereka musnah tanpa sempat diselamatkan.
Aydan Sha yang kehilangan tempat tinggal di rumah neneknya, selain ibunya turut kehilangan telefon dan barangan peribadi dalam kejadian tersebut.
Walaupun ada dalam kalangan mereka yang masih sempat menyelamatkan sedikit barang, trauma menyaksikan api menjulang tinggi tetap meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa kecil seperti Faiz Ridha dan Siti Nur Jannah.
Menyelami kesedihan itu, pihak PASTI Malaysia melalui Sektor Kebajikan telah turun padang bagi menyantuni mangsa. Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pengarah, En Damanhuri bin Dol, hadir membawa bantuan berbentuk wang tunai, beg sekolah baharu serta kelengkapan asas persekolahan.
Namun lebih daripada bantuan material, kehadiran mereka membawa mesej yang lebih besar bahawa mangsa tidak berjuang sendirian.
Harapan yang masih bersisa
Di sebalik kejadian menyayat hati ini, masih ada ruang harapan yang cuba dibina semula. Sumbangan melalui Skim PASTI Malaysia menjadi antara sumber yang membantu meringankan beban keluarga terlibat.
Walaupun kecil pada pandangan sesetengah pihak, setiap sumbangan membawa makna besar buat mereka yang kehilangan segalanya dalam sekelip mata.
Kini, fokus utama adalah membantu anak-anak ini bangkit semula kembali ke sekolah, kembali belajar dan kembali tersenyum seperti kanak-kanak lain seusia mereka.
Masyarakat turut diminta untuk terus mendoakan agar mangsa kebakaran di Kg Bahagia, Sandakan diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan dalam fasa pemulihan ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan ihsan RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan kepada 300 keluarga yang terbabit kebakaran di Kampung Bahagia.
Perdana Menteri berkata, sumbangan itu yang membabitkan jumlah keseluruhan RM450,000 akan disalurkan segera kepada keluarga dikenal pasti.
Baca juga: Termometer Merkuri Pecah TAK BOLEH Sapu Atau Vakum, Risiko Racun Kanser Boleh Tersebar!
Sumber: PASTI Malaysia & Berita Harian

