Kasih sayang bukan sesuatu yang boleh diukur melalui usia atau kemampuan fizikal, sebaliknya lahir daripada keikhlasan hati seperti yang ditunjukkan oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ini.
Kisah menyentuh hati Muhammad Ammar Yusniman tular di media sosial selepas videonya bersama datuk tersayang dikongsikan di TikTok, sekali gus meraih perhatian ramai.
Baca juga: Pengantin Dibungkus Seperti Hadiah, Adat Unik Kaum Bajau Keturunan Dayang Tarik Perhatian!
KASIH SAYANG YANG HEBAT CUCU, MUHAMMAD AMMAR

Hubungan akrab terjalin sejak bayi
Anak bongsu daripada tiga beradik itu sangat rapat dengan datuknya, Abdul Mubin Mat Saleh, 76, yang kini berdepan pelbagai masalah kesihatan serius termasuk diabetes, kolesterol, penyakit jantung, anemia, amnesia, masalah hati, jaundis, saraf dan prostat.
Menurut ibu Ammar, Ismaliza Abdul Mubin, 40, hubungan istimewa antara anak dan datuknya terjalin sejak mereka berpindah ke kampung halaman di Pahang pada tahun 2016, tidak lama selepas Ammar dilahirkan.
Ketika itu, mereka menyewa berhadapan rumah ibu bapanya sebelum berpindah masuk tinggal bersama, selepas ibunya meninggal dunia setahun kemudian akibat komplikasi diabetes dan saraf.
“Apabila ibu meninggal dunia, kami tinggal bersama ayah. Waktu itu ayah masih boleh berdikari jadi dia selalu melayan Ammar,” katanya.
Tambah Ismaliza, ketika nenek Ammar meninggal dunia pada November 2017, Ammar masih kecil dan pada masa sama kesihatan datuknya mula merosot serta memerlukan rawatan berkala di hospital.
Datuk jadi tonggak keluarga
Ujian hidup keluarga mereka berterusan apabila Ismaliza melalui perceraian pada tahun 2021 dan suaminya berkahwin lain serta meninggalkan mereka.
Ketika itu, Ammar sering bertanya tentang bapanya kerana tidak memahami situasi sebenar.
“Saya hanya beritahu ayahnya bekerja jauh dan sibuk. Sejak itu, ayahlah yang banyak mengambil peranan dalam kehidupan kami,” ujarnya.
Abdul Mubin bukan sahaja menjadi tempat bergantung, malah setia menghantar dan mengambil Ammar dari sekolah, menyertai aktiviti serta hadir ke majlis graduasi cucunya itu.
Baca juga: Tragis…Penuntut Kolej Maut Selepas Motosikal Dirempuh Kereta Di Lebuhraya Senai–Desaru

Ujian kesihatan semakin berat
Namun, segalanya berubah apabila Abdul Mubin terlibat dalam kemalangan pada Julai 2025 yang menyebabkan beberapa tulang leher patah dan terpaksa memakai alat sokongan ‘halo vest’ sehingga Oktober 2025.
Sejak kejadian itu, kesihatannya semakin merosot, hilang selera makan dan kerap dimasukkan ke hospital.
Ismaliza berkata, Ammar sering berasa cemas setiap kali datuknya dimasukkan ke wad kerana bimbang tidak dapat menjaga dan menemani insan yang paling disayanginya itu.
Kasih sayang seorang cucu kecil
Di rumah, walaupun masih kanak-kanak, Ammar tidak pernah mengeluh membantu menjaga datuknya. Antara yang dilakukan termasuk menadah air kencing, menyuapkan buah-buahan serta menemani ke tandas dan surau kerana keadaan datuknya yang lemah.
“Ke mana pun saya pergi, saya akan bawa ayah bersama. Ammar pula akan sentiasa menemani dan memegang ayah kerana risau dia jatuh jika berjalan seorang diri,” katanya.
Keikhlasan dan pengorbanan Ammar jelas membuktikan bahawa kasih sayang sejati tidak memerlukan usia atau kekuatan fizikal, sebaliknya lahir daripada hati yang tulus dan penuh empati.
@nurrhaudhatul rutin anak soleh mama.. terus sabar layan kerenah akii.. #amnesia ♬ Sholawat Syifa Doa – Novi Ayla
Baca juga: Hilang 6 Ahli Keluarga Di Sungai Korok, Putri Qisya Tunaikan Hasrat Arwah Ibu Bapa Terpilih Ke MRSM!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: TikTok @nurrhaudhatul
