Kasih seorang ayah angkat seringkali tidak mampu diungkap dengan kata-kata, namun bagi wanita ini, setiap pengorbanan ayahnya sejak kecil menjadi sebab untuk dia terus kuat membalasnya hari ini.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok, luahan hatinya menyentuh perasaan ramai apabila mengenang kembali detik ayahnya mengajar dia berjalan suatu ketika dahulu. Dan kini, giliran dia pula setia berada di sisi ayah yang sedang diuji kesihatan.
PERJUANGAN KASIH SAYANG ANAK TERHADAP AYAH ANGKAT TANPA SYARAT

Gambar: Salinah Adelinah memberi fokus kepada penjagaan bapanya yang kurang sihat ; Salinah Adelinah bersama bapa ketika kecil (kanan).
Kasih yang tak pernah berbeza
Menurut wanita dikenali sebagai Salinah Adelinah, 30, walaupun dia mengetahui status dirinya sebagai anak angkat sejak kecil, ia tidak pernah mengubah rasa kasih dan sayang terhadap insan yang membesarkannya.
Malah, bagi dirinya, perkataan “angkat” itu hanya sekadar di atas kertas, sedangkan layanan dan kasih sayang yang diterima tidak pernah berbeza.
“Ayah nyawa Ina… mana ada orang lain sayang Ina seperti ayah sayang Ina,” luahnya dalam video tersebut.
Kenangan ketika kecil masih segar di ingatan, ayahnya yang memasukkan dia ke dalam ‘walker’ dan mengajarnya berjalan. Kini, situasi itu seakan terbalik apabila dia pula perlu membantu ayah yang semakin uzur untuk bergerak.
Sanggup berkorban demi ayah
Mengimbas kembali kisahnya sebelum ini, Salinah pernah membuat keputusan besar dalam hidup apabila berhenti kerja demi memberi sepenuh perhatian menjaga ayahnya yang kurang sihat.
Ayahnya yang kini berusia 70 tahun dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan pernah beberapa kali menjalani rawatan serius, membuatkan dia nekad untuk sentiasa berada di sisi.
Bagi meneruskan kehidupan, dia memilih untuk berniaga sambal secara kecil-kecilan. Bukan sekadar mencari rezeki, tetapi sebagai usaha untuk meringankan beban ayah yang telah banyak berkorban.
“Minggu lepas Ina dah putus asa… tapi ayah tetap kuat,” kongsinya jujur, menggambarkan betapa besar semangat yang ditunjukkan oleh ayahnya walaupun berdepan ujian.
Baca juga: “Dia Cuma Ada Saya..”- 10 Tahun Adik Lumpuh, Kakak Sulung Ini Cekal Pegang Amanah Arwah Ibu & Ayah

Tangkap layar dari TikTok Salinah Adelinah yang menjual Sambal Ayah.
Cinta tanpa syarat
Apa yang paling menyentuh hati, wanita ini mengakui bahawa dia tidak mampu membalas segala jasa ayahnya, namun tetap berusaha melakukan yang terbaik selagi hayat masih ada.
Dalam setiap langkah, dia membawa satu harapan, agar usahanya berniaga mampu memberi keselesaan buat ayah yang disayanginya.
“10 malam terakhir semoga Allah SWT makbulkan impian anak angkat tunggal ini meniaga sambal ayah mampu menyenangkan ayah mampu kan bahunya beri ayah rumah yang selesa dan memudahkannya, Allahuma Aamin.
“Yang tak kuat cuma kaki ayah bukan semangat ayah, Ina sayang ayah!
“Kalau lah ibu ada lagi kan ayah mesti ibu ketawa kan ayah mesti ibu cakap ayah macam baby alfatihah buat ibu,” luahnya di ruangan kapsyen video tersebut.
Menerusi video yang dikongsi di TikTok, wanita terbabit dilihat membantu ayahnya bergerak menggunakan walker menuju ke katil dengan membawa semangat untuk berjalan semula.
Perkongsian videonya mendapat perhatian warga maya yang rata-rata kagum melihat usahanya menjaga bapa dengan kudrat seorang wanita demi memastikan warga emas itu kembali sihat.
Kisah ini menjadi bukti bahawa kasih sayang tidak diukur melalui pertalian darah semata-mata, tetapi melalui keikhlasan, pengorbanan dan kesetiaan yang ditunjukkan setiap hari.
Semoga lebih ramai anak-anak di luar sana mengambil peluang untuk menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
@salinahadelinah10malam terakhir semoga Allah swt makbulkan impian anak angkat tunggal ini meniaga sambal ayah mampu menyenangkan ayah mampu kan bahunya beri ayah rumah yang selesa dan memudahkannya allahuma amin Yang tak kuat cuma kaki ayah bukan semangat ayah ina sayang ayah! Kalau lah ibu ada lagi kan ayah mesti ibu ketawa kan ayah mesti ibu cakap ayah macam baby alfatihah buat ibu.♬ menjagamu – MusiX
Sumber: TikTok @salinahadelinah / Sinar Harian
FT Image: TikTok @salinahadelinah
