Euforia Bola 2026
Famili

Kasih Ibu Setia Di Pusara Anak Dalam Hujan, Kisah Sebenar Buat Ramai Sebak -“Arwah Anak Sulung..”

kasih ibu

Walaupun jasad anak sudah tiada, kasih ibu tidak pernah terhenti. Malah, hujan lebat tidak menjadi halangan buat seorang wanita tua yang setia duduk di sisi pusara anaknya, dalam sebuah momen pilu yang tular di media sosial.

Kisah ini mendapat perhatian ramai apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun dan bekas pemain bola Kedah, Baddrol Bakhtiar berkongsi detik menyayat hati itu ketika beliau sendiri sedang menziarahi kubur anaknya di tanah perkuburan sama.

Baca juga: “Nak Kebumi Di Mana?” – Dua Beradik Bergaduh Di Wad Ketika Ayah Nazak, Kena ‘Heret’ Ke Mahkamah!

KASIH IBU ZIARAH KUBUR ARWAH ANAK SULUNG DALAM HUJAN

kasih ibu

Di sebalik video itu, Baddrol Bakhtiar berkongsi tersingkap kisah penuh pengorbanan dan kasih yang tak bertepi dari seorang ibu yang sanggup merentas negeri Terengganu ke Kedah demi menunaikan rindu terhadap anak yang telah pergi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin, Sungai Petani.

“Saya sedang menuju ke pusara anak apabila terlihat seorang ibu duduk di bawah hujan, merenung pusara anaknya dengan penuh sayu.

“Sukar digambarkan perasaannya. Kehilangan yang amat mendalam, namun setiap doa dan harapan tetap hadir dalam setiap hela nafas.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan bersemadi dengan tenang. Al-Fatihah,” kongsi bekas pemain bola sepak Kedah FA itu.

Video tersebut mendapat perhatian ramai di TikTok dengan lebih 700,000 tontonan. Dalam ruangan komen, seorang wanita tampil memperkenalkan diri sebagai menantu kepada ibu tersebut dan isteri kepada Allahyarham Muhammad Fazrin Abdul Wahid lebih mengukuhkan kisah.

“Itu ibu mentua saya, dan pusara itu milik arwah suami saya. Beliau datang dari Terengganu semata-mata mahu menziarahi anaknya. Al-Fatihah untuk suami saya. Terima kasih atas segala doa,” tulis Nurul Nabilah Rizal di ruangan komen.

Difahamkan, Allahyarham Muhammad Fazrin meninggal dunia pada 27 Oktober tahun lalu akibat jangkitan pneumonia.

HUBUNGAN DENGAN MENTUA SANGAT BAIK

kasih ibu

Gambar kenangan Nurul Nabilah (kanan) bersama arwah suaminya dan anak.

“Saya tahu betapa dalamnya kasih sayang ibu mentua terhadap arwah. Setiap kali datang ke Kedah, dia pasti akan bermalam di rumah saya. Hubungan kami memang sangat rapat.

“Arwah adalah anak sulung daripada lapan beradik dan menjadi harapan keluarga. Dia seorang yang baik hati, suka membantu dan tidak pernah bersikap kasar,” katanya lagi.

Nurul Nabilah turut meluahkan rasa terharu dengan doa dan sokongan orang ramai terhadap ibu mentuanya, dan berharap wanita itu terus diberi kesihatan serta ketabahan untuk menjalani kehidupan.

“Saya bersyukur dikurniakan suami dan keluarga mentua yang baik. Saya mohon agar semua yang menonton video itu turut mendoakan kesejahteraan ibu mentua saya.

“Terima kasih, mak, kerana sentiasa menziarahi pusara suami saya dan menganggap saya seperti anak sendiri,” katanya dengan penuh emosi.

Kini, Nurul Nabilah menumpukan sepenuh perhatian untuk membesarkan anak lelaki hasil perkahwinannya dengan Allahyarham, iaitu Muhammad Ali Al-Uthman Muhammad Fazrin yang kini berusia enam tahun. Beliau berjanji akan terus memelihara hubungan baik bersama keluarga mentua selagi hayat dikandung badan.

@baddrolbakhtiar7Dalam perjalanan menziarahi pusara anak saya, hati ini tersentuh melihat seorang ibu di bawah rintik hujan, menatap kubur dengan perasaan yang sukar digambarkan. Kehilangan yang mendalam, namun doa dan harapan tetap bersemadi di setiap hembusan nafas. Semoga roh mereka tenang dan damai di sana. Al- fatihah 🤲🏻🤍♬ original sound – JESBON_76

Baca juga: “Allahuakbar Ayahku”- Bapa Petani Hibah Harta Jadi Pengganti Duit Raya Elak Anak Berebut, Netizen Sebak!

Sumber: Sinar Harian, Tiktok @baddrolbakhtiar7

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×