Satu insiden mencemaskan yang berlaku di sebuah pangsapuri Puchong iaitu di Taman Putra Perdana pada Jumaat lalu telah mencuri perhatian ramai selepas rakamannya tular di media sosial.
Dalam kejadian itu, seorang lelaki bertindak spontan seperti ‘Spiderman’ dengan mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir terjatuh dari tingkat empat kediaman tersebut!
Tindakan Spontan Lelaki Selamatkan Kanak-Kanak Nyaris Jatuh Di Pangsapuri Puchong

Tangkap layar ketika ‘hero’ ini menyelamatkan kanak-kanak di tingkat 4 pangsapuri.
Menurut maklumat yang dikongsi menerusi laman X @MyNewsHub, lelaki berkenaan yang juga jiran kepada mangsa secara tidak sengaja terlihat kelibat kanak-kanak itu sedang merangkak keluar dari tingkap rumah. Menyedari bahaya yang bakal menimpa, dia bertindak pantas tanpa berfikir panjang dengan memanjat pagar besi di bahagian luar bangunan bagi menyelamatkan si kecil tersebut.
Aksi nekad dan berani itu sempat dirakam oleh orang awam dan menjadi tular, mengundang pelbagai reaksi daripada warganet. Rata-rata memuji keberanian lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu, malah menggelarnya sebagai ‘wira sebenar’.
“Hero sejati. Moga dimurahkan rezeki dia,” ujar salah seorang pengguna media sosial.
Sementara itu, komen lain turut mencadangkan agar lelaki ini diberikan penghargaan oleh pihak berkuasa atas keberanian dan keprihatinannya.
Difahamkan, tiada kecederaan dilaporkan pada kanak-kanak tersebut, sekaligus melegakan semua pihak yang menyaksikan insiden berkenaan. Lelaki berkenaan yang dilihat memakai kemeja-T berwarna oren bertindak dengan penuh hati-hati apabila berpaut pada struktur luar bangunan dan berjaya mencapai kanak-kanak itu sebelum meletakkannya semula ke dalam rumah dengan selamat.
Insiden ini turut menjadi peringatan penting kepada semua ibu bapa, khususnya mereka yang tinggal di kediaman bertingkat, agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak. Pemasangan jeriji tingkap dan pagar keselamatan disarankan bagi mengelakkan tragedi seumpama ini daripada berulang.
KANAK-KANAK HAMPIR JATUH DARI TINGKAT EMPAT, JIRAN GAGAH PANJAT SELAMATKAN
PUCHONG, 13 April 2025 – Kejadian mencemaskan berlaku di Taman Putra Perdana di sini apabila seorang kanak-kanak hampir terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat empat sebuah pangsapuri.
Mengikut tarikh… pic.twitter.com/E0LowkSGoY
— MYNEWSHUB (@mynewshub) April 13, 2025
*Sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun keluarga mangsa berkaitan kejadian tersebut namun terima kasih diucapkan kepada wira berbaju oren ini!
Sumber: Sinar Plus
