Masyarakat Melayu memang terkenal dengan kreativiti dalam mengolah jenis sayur kampung menjadi hidangan. Daripada pucuk muda hinggalah batang pisang, semuanya boleh diangkat ke meja makan, baik dijadikan ulam mahupun dimasak dengan pelbagai resipi tradisi.
Jom kita kenali antara sayur dan ulam kampung yang bukan sahaja enak, tetapi juga penuh khasiat serta menjimatkan kos beli barang dapur!
Baca juga: Tips Untuk Pokok Daun Kari Tumbuh Merimbun Guna Beras, Daun Pun Hijau Gemuk-Gemuk!
JENIS SAYUR KAMPUNG BUKAN SEKADAR SEDAP TAPI BOLEH JIMATKAN POKET!
1. Pucuk Ubi

Paling mudah didapati di kampung, pucuk ubi memang serba boleh. Direbus, digoreng ringkas, atau dimasak lemak tempoyak bersama ikan masin.
2. Pucuk Labu

Walaupun daunnya berbulu kasar, bila digentel ia jadi lembut dan cepat masak. Pucuk labu paling terkenal dimasak lemak dengan ikan bilis atau ikan rebus.
3. Pucuk Cekur Manis

Sayur ini sinonim dengan masakan rebus ikan bilis. Selain dicelur untuk ulam sambal belacan, ia juga boleh dijadikan jeruk dan rasa manis semula jadi membuatkan ia disukai ramai.
4. Pucuk Turi

Sayur ini selalu dimasak lemak dengan keledek atau lobak merah. Ada juga yang menjadikannya urap bersama kelapa parut dan cili.
5. Bunga Betik

Ramai kurang menggemari rasanya yang pahit, tetapi sebenarnya bunga betik sarat khasiat. Ia boleh dijadikan ulam, tumisan, atau campuran dalam gulai.
6. Pucuk Bebuas

Teksturnya rangup, rasanya pahit-pahit sedap. Selalunya dimakan mentah bersama sambal belacan atau dijadikan kerabu.
7. Terung Pipit

Kecil tapi penuh rasa! Ia boleh dimakan mentah sebagai ulam, dimasak kari, atau dicampur dalam sambal tumis.
8. Daun Selom

Kerabu daun selom memang ikonik apabila digandingkan dengan kacang botol, bunga kantan, bawang kecil, dan taugeh, lengkap dengan sambal kelapa parut.
9. Daun Meranti

Paling popular dimasak lemak cili padi atau dicampur keledek. Daun ini juga sedap ditumis bersama udang kering atau dibuat masakan bening.
10. Pegaga

Selain dimakan begitu saja dengan sambal, pegaga juga boleh dibuat jus atau kerabu. Khasiatnya untuk kecergasan badan memang tidak asing lagi.
11. Jantung Pisang

Bunga pisang ini bukan sahaja boleh dijadikan ulam celur, malah sedap dimasak lemak tempoyak, gulai ikan kurau, atau dibuat kerabu.
12. Batang Pisang

Jarang ditemui di kedai makan, tetapi cukup istimewa ketika kenduri kahwin di belah utara. Gulai batang pisang bersama daging kerbau memang hidangan klasik yang kaya rasa.
13. Keladi

Batang keladi mempunyai keunikan tersendiri. Ia enak dimasak asam rebus, asam pedas, atau lemak cili padi.
14. Rebung

Pucuk buluh muda ini paling sedap dimasak gulai bersama udang, ikan masin atau dibuat sayur lodeh. Harum dan lembut, rebung memang sinonim dengan masakan kampung.
15. Pucuk Paku

Pucuk paku memang kegemaran ramai. Sama ada dimakan celur dengan sambal belacan, dimasak lemak cili padi, digoreng belacan atau dijadikan kerabu, semuanya sedap!
Sayur-sayuran dan ulam kampung bukan sekadar hidangan tradisi, malah kaya dengan khasiat semula jadi. Jadi, sesekali cuba masukkan sayur kampung ini dalam menu harian. Bukan sahaja mengimbau nostalgia, malah menyihatkan tubuh badan.
Baca juga:
Sumber: Jabatan Pertanian, MyHealth
