Skim Perlindungan B40 MySalam merupakan inisiatif bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi menyokong golongan B40 di Malaysia. Bukan itu sahaja, bagi tahun 2025, senarai penyakit kritikal yang dilindungi di bawah MySalam telah diperluas kepada 50 jenis, termasuk tiga jenis penyakit mental di bawah kategori CI-11 Penyakit Mental.
Jadi, buat anda yang berada dalam kategori penghidap penyakit di bawah dan layak menerima bantuan MySalam ini, pastikan mohon dengan segera!
Baca juga: Info Lengkap Ciri-Ciri Anda Hadapi Gangguan Mental Pada Peringkat Awal, AWAS!
3 JENIS PENYAKIT MENTAL YANG LAYAK MENERIMA BANTUAN MYSALAM

1. Gangguan Kemurungan Utama (MDD)
Gangguan Kemurungan Utama (MDD) ialah gangguan mental yang dicirikan oleh perasaan sedih yang berterusan, kosong dan mudah marah, bersama-sama dengan kehilangan minat, dengan kesusahan atau kemerosotan yang ketara secara klinikal dalam bidang sosial, pekerjaan atau fungsi penting lain.
Diagnosis MDD yang jelas mesti memenuhi SEMUA kriteria berikut:
(i) Diagnosis MDD mesti disahkan oleh Pakar Psikiatri berdasarkan kriteria Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), atau mana-mana kemas kini DSM-5 berikutnya atau kriteria alternatif yang menggantikan DSM-5;
(ii) Keterukan tertentu yang diperlukan oleh definisi mesti memenuhi bilangan simptom kriteria dan tahap ketidakupayaan fungsi yang konsisten dengan episod teruk seperti yang ditakrifkan oleh DSM-5 atau penentu Diagnostik Edisi DSM yang paling terkini;
(iii) Orang Yang Dilindungi mestilah telah menjalani terapi electroconvulsive (ECT), yang mesti dikendalikan oleh Pakar Psikiatri; dan
(iv) Orang Yang Dilindungi mestilah telah menerima ubat khusus untuk merawat MDD tanpa gangguan untuk tempoh sekurang-kurangnya seratus lapan puluh (180) hari selepas diagnosis.
Untuk definisi di atas, perkara berikut tidak dilindungi:
i) Kemurungan yang disebabkan oleh kehadiran penyalahgunaan dadah atau bahan (termasuk alkohol); dan
ii) Gangguan Penyesuaian dengan Mood Tertekan.
2. Skizofrenia
Skizofrenia adalah gangguan mental yang dicirikan oleh gangguan utama dalam fungsi kognitif, emosi dan tingkah laku.
Diagnosis yang jelas mesti memenuhi SEMUA kriteria berikut:
(i) Diagnosis Skizofrenia mesti disahkan oleh Pakar Psikiatri berdasarkan kriteria Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), atau mana-mana kemas kini DSM-5 berikutnya atau kriteria alternatif yang menggantikan DSM-5; dan
(ii) Mesti telah menerima terapi ubat antipsikotik tanpa gangguan untuk tempoh sekurang-kurangnya seratus lapan puluh (180) hari selepas diagnosis.
Perkara berikut dikecualikan:
i) Gangguan skizofrenia yang disebabkan oleh kehadiran penyalahgunaan dadah atau bahan (termasuk alkohol).
3.Gangguan Bipolar
Gangguan Bipolar ialah gangguan mental yang juga dinamakan sebagai penyakit manic-depressive, yang menyebabkan perubahan melampau dalam mood, tahap tenaga, aktiviti dan kesusahan atau kemerosotan yang ketara secara klinikal dalam aspek sosial, pekerjaan atau aspek penting lain dalam fungsi seharian.
Diagnosis yang jelas mesti memenuhi SEMUA kriteria berikut:
(i) Diagnosis Gangguan Bipolar mesti disahkan oleh Pakar Psikiatri berdasarkan kriteria Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5), atau mana-mana kemas kini DSM-5 berikutnya atau kriteria alternatif yang menggantikan DSM-5; dan
(ii) Orang Yang Dilindungi mestilah telah menerima terapi ubat khusus, iaitu penstabil mood atau antipsikotik atau antidepresan atipikal, tanpa gangguan untuk tempoh sekurang-kurangnya seratus lapan puluh (180) hari selepas diagnosis.
Perkara berikut dikecualikan:
i) Gangguan bipolar yang disebabkan oleh kehadiran penyalahgunaan dadah atau bahan (termasuk alkohol).
Terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui. Biarpun ketiga-tiga penyakit mental ini tersenarai dalam penyakit yang layak mendapat manfaat MySalam, ada perkara tertentu yang boleh menyebabkan permohonan anda ditolak.
Jika gangguan anda disebabkan oleh penyalahgunaan dadah atau bahan lain termasuk alkohol, tuntutan anda tidak akan dilindungi MySalam. Malah bagi penghidap MDD pula, gangguan penyesuaian dengan mood tertekan juga tidak akan dilindungi. Pihak pengurusan MySalam juga telah mengeluarkan pengumuman tarikh akhir permohonan tuntutan bagi tahun kelayakan 2024.
“Anda digesa untuk memuat naik dokumen tuntutan ke postal MySalam selewat-lewatnya pada 30 Jun 2025. Jika tuntutan anda telah diluluskan tetapi masih belum menerima wang tuntutan, sila semak butiran perbankan anda untuk memastikan butiran adalah lengkap dan tepat,” maklum pihak pentadbiran.

Foto: Freepik
*Penerima manfaat perlu mengemas kini butiran perbankan di portal rasmi MySalam selewat-lewatnya juga pada 30 Jun 2025. Tarikh tersebut turut termaktub bagi penerima manfaat yang ingin mengemukakan rayuan.
Baca juga: Rahsia Turunkan ‘Lonjakan’ Bacaan Gula Guna Limau Nipis, Petua Viral Ramai Cuba & BERKESAN!
