Ramai petani dan orang yang suka bercucuk-tanam tertanya-tanya kenapa jenis buah manis yang ditanam tak menjadi manis walaupun sudah dibaja? Jawapannya terletak pada asas paling penting dalam dunia tumbuhan iaitu fotosintesis!
Baja memang penting tetapi baja bukan pencipta rasa manis. Jadi, berikut merupakan perkongsian ilmu tanaman dari saudara Mohd Sukeri tentang kombinasi cahaya matahari, air, karbon dioksida (CO₂), dan daun yang sihat menjadi ‘kilang’ sebenar yang menghasilkan gula semula jadi dalam buah.
Baca juga: Teknik Buat Baja Penggalak Pokok Guna Sisa Ikan & Ketam, Hasil Tanaman Pun Makin ‘Galak’!
BUAH MANIS YANG DITANAM TAK RASA MANIS? RUPANYA TANAMAN KENA IKUT FORMULA INI

Foto: freepik
Ingat semula formula fotosintesis: 6CO₂ + 6H₂O + cahaya matahari → C₆H₁₂O₆ (gula) + 6O₂
Gula (C₆H₁₂O₆) inilah yang menjadikan buah manis. Tapi untuk hasilkan gula yang cukup dan salurkan ke buah, pokok perlukan empat perkara asas ini:
1. Cahaya Matahari Yang Cukup
Tanpa cahaya, tiada fotosintesis. Tanpa fotosintesis, tiada gula.
– Pastikan pokok dapat cahaya penuh, langsung dan cukup lama setiap hari.
– Buka kanopi jika terlalu redup — kawasan terbuka lebih sesuai untuk buah manis.
2. Daun Sihat dan Aktif
Daun ialah dapur utama pokok.
– Daun mesti hijau, sihat, dan bebas penyakit atau serangan serangga.
– Elakkan daun terlalu tua atau rosak — ia kurang cekap menghasilkan gula.
3. Karbon Dioksida (CO₂) Mencukupi
CO₂ diserap melalui liang kecil pada daun.
– Lagi banyak daun, lagi banyak CO₂ boleh diserap.
– Waktu pagi hingga tengah hari adalah waktu paling aktif untuk serapan CO₂.
4. Air Cukup, Tapi Jangan Terlebih
Air diperlukan dalam fotosintesis dan untuk angkut gula dari daun ke buah.
– Kalau terlalu banyak air, akar lemas → tak hasilkan tenaga (ATP)
– Tanpa ATP, gula tak sampai ke buah → buah jadi tawar
Kenapa Buah Tak Manis?

Foto: freepik
1. Tanah terlalu basah – akar tak sihat – tiada tenaga – gula tak dihantar ke buah.
2. Daun kurang atau rosak – kilang gula tak cukup.
3. Kurang cahaya – gula tak dihasilkan dengan optimum.
4. Baja tinggi nitrogen – semua tenaga pergi ke daun, bukan ke buah.
Rumusannya, kalau anda nak buah yang betul-betul manis, kuncinya bukan pada kuantiti baja, tapi kualiti persekitaran untuk fotosintesis. Bantu pokok bernafas, ‘masak’ dan hantar gulanya, barulah hasil memuaskan hati dan lidah!
Baca juga: Rahsia Rumah Bau Harum Semerbak Macam Hotel Guna Limau Nipis, Jiran Pun Tegur!
Sumber: Mohd Sukeri
