Satu perkongsian menyentuh hati dimuat naik oleh Andalusia Travel & Tours apabila memaklumkan pemergian seorang jemaah umrah mereka yang kembali ke rahmatullah di Tanah Suci ketika bulan Ramadan.
Menurut kenyataan tersebut, Allahyarhamah Hajah Fazita Binti Khalid menghembuskan nafas terakhir di Madinah selepas hampir 20 hari bertarung nyawa di wad hospital.
JEMAAH UMRAH MENINGGAL DI MADINAH SELEPAS 20 HARI BERTARUNG

Pemergiannya itu disifatkan sebagai satu pengakhiran yang dicemburui, lebih-lebih lagi apabila berlaku di bulan penuh keberkatan.
Lebih menyentuh perasaan, Allahyarhamah telah disemadikan di perkuburan Baqi Al Gharqad yang terletak berhampiran Masjid Nabawi, tempat persemadian para sahabat dan insan-insan terpilih.
“Selepas bertarung nyawa hampir 20 hari di dalam bilik wad hospital , akhirnya Hajah Fazita dipilih oleh Allah SWT untuk bersemadi selamanya di samping Masjid Nabawi berdekatan Rasulullah iaitu di perkuburan Baqi Al Gharqad,” jelas pihak Andalusia Travel & Tours.
Difahamkan, jenazah arwah turut disolatkan di Masjid Nabawi bersama ribuan jemaah lain dan pada ketika itu hanya jenazah Allahyarhamah sahaja yang disolatkan.
“Kemulian meninggal dunia di Bumi Madinah ketika bulan Ramadhan dan disolat oleh beribu umat islam di Masjid Nabawi , hanya jenazah arwah satu satunya disolatkan ketika itu. emoga pengakhiran kita semua seperti beliau,” tambahnya.
Menerusi perkongsian Rosita Khalid, kakak kepada arwah, Fazita berangkat dari Pulau Pinang pada 23 Januari untuk mengerjakan umrah bersama Andalusia Travel & Tours dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 2 Februari 2026.
Namun pada tarikh sepatutnya arwah pulang, ketika urusan daftar masuk di lapangan terbang Madinah, Fazita sempat menghubungi kakaknya melalui WhatsApp memaklumkan dia mengalami sesak nafas yang teruk.

Menurut Rosita, arwah mengadu nafasnya menjadi pendek dan terasa seolah-olah “hilang nyawa” kerana terlalu sesak. Ketika itu juga, Fazita dilaporkan kehilangan suara serta mengalami batuk, hingga tidak mampu berkomunikasi dengan mutawwif yang mengiringi jemaah.
Kehilangan ini pastinya memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada rakan-rakan jemaah yang bersama-sama menunaikan ibadah umrah.
Dalam perkongsian tersebut, Andalusia Travel & Tours turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah serta mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Pemergian di bumi yang mulia, pada bulan yang penuh rahmat, serta disolatkan di Masjid Nabawi merupakan satu pengakhiran yang diimpikan ramai umat Islam.
Semoga kisah ini menjadi peringatan buat kita semua tentang hakikat kehidupan dan kematian, serta mendorong untuk memperbanyak amal sebagai bekalan menuju akhirat. Al-Fatihah.
Baca juga: Pakar Dedah Daun Selasih Boleh HALANG Kanser Payudara & Hati, Ini Caranya Kalau Buat Sendiri
Sumber: Facebook Andalusia Travel & Tours & Rosita Khalid
