Pada usia 18 tahun, ketika kebanyakan remaja masih bergantung kepada ibu bapa, seorang jemaah haji termuda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini memilih jalan berbeza apabila berjaya menunaikan ibadah haji seorang diri.
Berkat pendedahan dan didikan sejak kecil, bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman akhirnya menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima.
Baca juga: “Walaupun Kecil, Cukup Bermakna” — Comelnya! PM Terima Duit Raya RM7 Daripada Dua Kanak-Kanak
JEMAAH HAJI TERMUDA USIA 18 TAHUN, EUSOFF BERSYUKUR

Menurut Eusoff, peluang tersebut hadir hasil usaha ibunya yang telah mendaftarkannya dengan simpanan Tabung Haji sejak usia masih kecil lagi.
Katanya, simpanan untuk menunaikan haji itu dilakukan secara berperingkat sejak kecil, termasuk menggunakan duit raya dan wang poket selain sokongan berterusan daripada ibu bapanya.
Berkongsi pengalaman berada di Tanah Suci, Eusoff mengakui walaupun pertama kali ke luar negara tanpa ditemani keluarga, pengalaman tinggal di asrama sebelum ini banyak membantunya menyesuaikan diri.
“Terima kasih mak. Kalau bukan kerana mak mula menyimpan dan merancang sejak saya masih kecil, mungkin saya tidak sampai ke sini hari ini. Alhamdulillah, tahun ini nama saya dipanggil (untuk menunaikan ibadah haji).
“Apabila sampai di Tanah Suci, baru saya benar-benar faham mak bukan sekadar merancang masa depan saya di dunia, tetapi juga sudah memikirkan perjalanan akhirat sejak saya bayi,” katanya.
Eusoff yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, hubungan baik dengan rakan sebilik yang jauh lebih berusia turut memberi banyak manfaat sepanjang berada di sana.

“Saya paling muda dalam kumpulan kerana rakan sebilik dalam lingkungan 50-an dan 60-an. Mereka melayan saya seperti anak sendiri, sentiasa mengambil berat dan bertanya sudah makan atau sudah kembali ke bilik atau belum.
“Di sini saya bukan sahaja belajar tentang ibadah, tetapi juga tentang kehidupan, cara menghormati orang tua dan nilai persaudaraan,” jelasnya.
Tambahnya, pesanan ibu bapa sentiasa menjadi pegangan sepanjang berada di Mekah, khususnya dalam menjaga ibadah serta keselamatan diri.
Dalam pada itu, pelajar yang memperoleh keputusan SPM 7A tersebut melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada kedua ibu bapanya yang banyak berkorban demi memastikan dia dapat menunaikan haji pada usia muda.
Baca juga: Anggun Di Sebalik Takhta, 5 Permaisuri Di Malaysia Ini Miliki Latar Pendidikan & Kerjaya Luar Biasa!
Sumber: Harian Metro
