Menjadi kebiasaan di Malaysia, pasti akan ada jualan-jualan jajan depan sekolah yang sangat menarik perhatian para murid. Mana tidaknya, inilah masanya untuk meluangkan masa sementara menunggu mak ayah datang jemput balik rumah bukan?
Namun, sebagai ibu bapa, siapa yang tak risau bila melihat anak membawa pulang makanan atau jajan yang pelik-pelik apatah lagi bila bentuknya menyerupai deodoran!
IBU TERKEJUT ANAK BELI JAJAN DEPAN SEKOLAH BERBENTUK DEODORAN

Itulah yang dikongsikan oleh seorang wanita apabila anaknya membeli jajan berbentuk botol kecil menyerupai deodoran, yang dijual oleh peniaga di hadapan pagar sekolah. Lebih membimbangkan, cara makan jajan itu pula bukan seperti biasa kerana kanak-kanak perlu menjilat atau menghisap untuk menikmati air manis yang terdapat di dalamnya.
Menurut wanita tersebut, dia terkejut apabila melihat anaknya sedang ‘menyedut’ jajan itu ketika pulang dari sekolah.
“Semalam semasa ambil anak balik sekolah, tengok dia tengah sedut benda ini. Ingatkan buat apa, rupa-rupanya ini jajan yang dia beli depan sekolah.
Semalam anak sedut hampir terlepas bola itu masuk ke dalam mulut,” tulisnya.
Katanya lagi, dia sudah berkali-kali menasihati dan melarang anaknya daripada membeli makanan di luar pagar sekolah, malah mencatu wang saku supaya cukup-cukup untuk makan di kantin.
“Saya bagi RM4 saja, cukup untuk makan. Tapi dia selalu simpan RM1 untuk beli waktu balik,” jelasnya.
Peniaga Sudah Diberi Amaran, Tapi Masih Degil

Foto: Harian Metro
Wanita berkenaan turut mendakwa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah beberapa kali melakukan tindakan dan sitaan terhadap peniaga berkenaan, namun mereka tetap berdegil dan kembali berniaga seperti biasa.
“DBKL dah datang banyak kali, malah pernah ambush, tapi lepas sejam mereka meniaga balik,” katanya.
Lebih membimbangkan, bukan sekadar jajan pelik yang dijual, malah makanan berproses seperti sosej dan mi segera juga dijual tanpa diketahui status halalnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai ibu bapa yang turut meluahkan rasa bimbang. Ramai bersetuju agar pihak berkuasa memantau lebih ketat kawasan sekitar sekolah, terutama terhadap peniaga tidak berlesen yang menjual makanan meragukan kepada kanak-kanak.
Rata-rata netizen juga berpendapat bahawa makanan seperti ini bukan sahaja tidak berkhasiat, malah berisiko mendatangkan bahaya kepada kesihatan serta keselamatan anak-anak.
Baca juga: Sekolah Hebat, Anak Cemerlang! Ini Top 8 Sekolah Rendah Terbaik Malaysia Untuk Permulaan Tahun 1
