Perkongsian daripada Suphian Ismail ‘mendedahkan’ satu realiti yang sering berlaku dalam kalangan ibu tunggal, khususnya berkaitan isu tuntutan nafkah anak selepas perceraian.
Ramai ibu mengambil keputusan untuk tidak menuntut nafkah kerana tidak mahu membebankan bekas suami, lebih-lebih lagi apabila mengetahui keadaan kewangan lelaki tersebut tidak kukuh.
Baca juga: Suami Serah Diri Lepas Tik*m Isteri, Suspek Pernah Jumpa Bomoh & Syak Mangsa Ada Hubungan Sulit
TAK MINTA TUNTUTAN NAFKAH ANAK DEKAT BEKAS SUAMI, GUNA ALASAN KESIAN

Freepik
Ada dalam kalangan ibu yang merasakan mereka mampu menguruskan kehidupan sendiri, bekerja dan menyediakan keperluan anak tanpa perlu meminta apa-apa.
Namun, tindakan berdiam diri ini sebenarnya membuka ruang kepada salah faham, malah boleh menyebabkan hak anak tidak ditunaikan sebagaimana sepatutnya.
“Hakikatnya, nafkah anak adalah hak anak, bukan hak ibu. Itu merupakan tanggungjawab bapa, bukan pilihan ikut suka. Bila ibu tak tuntut, anak mungkin terlepas hak mereka tanpa sedar,” jelas Suphian di laman Facebook.
Dalam Islam dan menurut undang-undang keluarga, nafkah anak adalah hak mereka. Ia bukan hak ibu dan bukan juga pilihan yang boleh dibuat mengikut budi bicara.
Tanggungjawab menyediakan nafkah adalah kewajipan seorang bapa selagi anak masih berada di bawah tanggungannya. Apabila ibu memilih untuk tidak menuntut, ia secara tidak langsung boleh menyebabkan anak terlepas hak mereka tanpa disedari.
Lebih membimbangkan, situasi ini mampu menimbulkan persoalan pada masa depan apabila anak mula sedar tentang peranan seorang bapa dalam penyediaan nafkah.

Kredit: Facebook Suphian Ismail
Seorang pembaca menegaskan bahawa jika seorang bapa benar-benar faham tanggungjawabnya, nafkah anak tidak perlu pun dituntut di mahkamah. Menurutnya, menuntut sekali sepatutnya sudah memadai dan selebihnya menjadi amanah yang perlu dijawab oleh si bapa di akhirat kelak.
Ada juga yang berkongsi pengalaman bahawa ramai ibu tunggal sebenarnya bukan tidak mahu menuntut nafkah kerana mereka berkemampuan, tetapi kerana proses turun naik mahkamah memerlukan masa, tenaga dan kos yang bukan sedikit.
Akhirnya, mereka memilih untuk menggunakan apa yang ada bagi menyara anak sendiri, berbanding melalui proses yang panjang dan belum tentu membuahkan hasil. Bagi mereka, jika bapa enggan menunaikan tanggungjawabnya, urusan itu akan dipertanggungjawabkan kepada Allah pada hari kemudian.
Sumber: Facebook Suphian Ismail
